Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan rogol pempengaruh: Kes Ebit diklasifikasi NFA

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Personaliti terkenal Ebie Lew dikatakan tidak akan didakwa di mahkamah ekoran dituduh membuat serangan seksual ke atas seorang pempengaruh pada tahun lalu.

Peguam Ebit, Akberdin Abdul Kader, memberitahu media yang Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kertas siasatan bagi kes itu sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

Kata Akberdin polis menyelesaikan siasatan kes tersebut pada 14 Sept tahun lalu dan keputusan dibuat timbalan pendakwa raya (DPP) ialah tidak meneruskan kes berkenaan.

"Keputusan DPP adalah tidak meneruskan kes sebab tiada kes.

"Jadi Ebit Lew tidak akan dituduh sebab tiada kes dan barang kes seperti telefon dan kad sim telah dipulangkan semalam.

"Saya sebagai peguam Ebit telah dimaklumkan sendiri oleh pihak polis semalam," katanya kepada media hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, portal berita The Star melaporkan polis sudah merujuk dua kertas siasatan berhubung kes itu kepada Jabatan Peguam Negara.

Satu daripadanya adalah dakwaan seorang pengaruh Indonesia mengenai tentang tingkah laku tidak wajar oleh Ebit, manakala yang kedua berkaitan laporan personaliti terbabit yang menolak dakwaan wanita berkenaan.

Laporan pempengaruh itu disiasat atas kesalahan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Laporan Ebit pula disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu berhubung kesalahan melibatkan kandungan dalam talian yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain.

Laporan dibuat perseonaliti yang memilik nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew itu pula disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah jenayah.

Menurut Akberdin Mahkamah Sesyen Shah Alam juga menetapkan 1 Julai ini untuk kes fitnah yang difailkan Ebit ke atas pempengaruh berkenaan.

Katanya pada tarikh tersebut mahkamah akan menilai kerosakan dan kerugian yang dialami Ebit ekoran dakwaan yang dibuat ke atasnya.

"Ini adalah dakwaan yang sangat serius tetapi (diputuskan) tak ada kes," katanya.

Untuk rekod ketika ini Ebit sedang dibicarakan bagi kes lain di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.

Ebit, 38, berdepan 11 pertuduhan jenayah. Antaranya kerana mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.