Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya tengking CEO SRC sebab tak failkan penyata kewangan 2013'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd Ismee Ismail berkata dia menengking Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil berhubung penyata kewangan syarikat itu yang tidak difailkan bagi tahun berakhir 2013.

Ismee berkata kejadian itu berlaku pada 2014 apabila dia berang terhadap Nik Faisal yang mengakui penyata kewangan itu belum difailkan.

Dia berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak, berjumlah AS$1.18 bilion.

Ismee berkata apabila dia membaca artikel The Edge bertarikh 5 Mei 2014 bertajuk SRC Yet to File Accounts or Seek Extension, dia telah meminta Nik Faisal untuk menjawab tulisan majalah perniagaan itu.

“Namun, Nik Faisal kemudian menghubungi semula dan berkata kami (SRC) sebenarnya tidak memfailkan (penyata kewangan).

“Saya menjerit kepadanya, dan saya mengambil inisiatif peribadi saya sendiri untuk memastikan akaun ditutup.

“Bukti itu jelas, dan dia memberi jaminan semuanya baik. Kami (lembaga pengarah SRC) tidak sedar Nik Faisal ialah seorang pembohong,” kata Ismee kepada hakim mahkamah tinggi, Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Ismee yang merupakan pihak ketiga yang dinamakan dalam saman terbabit berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Ismee ialah pengarah SRC dari 2011 hingga 2014.

SRC menyaman Najib berhubung dakwaan penyelewengan sebahagian daripada RM4 bilion pinjaman (RM3.6 bilion atau AS$1.18 bilion dalam kadar pertukaran asing antara 2011 dan 2012) yang diterima syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (Kwap) antara 2011 dan 2012.

Kwap ialah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Najib, yang juga bekas penasihat emeritus SRC, zedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta dalam kes mahkamah berasingan membabitkan penyelewengan RM42 juta daripada syarikat itu.

Ismee bukan sahaja menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Najib membabitkan dana RM42 juta SRC tetapi juga menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion membabitkan bekas menteri kewangan itu.

Pihak berkuasa Malaysia masih berusaha menjejaki Nik Faisal bagi membantu siasatan berhubung kes salah laku dalam SRC.

Perbicaraan di hadapan Fairuz disambung pada Isnin minggu depan.

SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 di bawah pengurusn baru dengan mendakwa Najib, sebagai penasihat emeritus plaintif, telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa, secara peribadi bagi mendapat manfaat daripada dana syarikat, dan menyalahgunakan berbilion ringgit.

SRC juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugiannya akibat pecah amanah dan menuntut bekas perdana menteri itu membayar balik RM42 juta.

Plaintif juga memohon perintah mahkamah supaya Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 bilion yang dialaminya, serta membayar balik sejumlah AS$120 juta dana yang didakwa dimasukkan ke akaun bank bekas perdana menteri itu.