Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM 'masuk' pejabat PHB, siasat dakwaan rasuah pegawai tinggi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sepasukan penyiasat SPRM dilaporkan melawat pejabat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di Shah Alam semalam untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa di syarikat milik kerajaan itu.

Menurut suruhanjaya antirasuah itu, mereka sedang menyemak maklumat bahawa "seorang pegawai tinggi" di PHB didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk menikmati faedah melebihi daripada kelayakannya.

Nilai terkumpul manfaat yang didakwa disyaki mencecah enam angka, kata Ketua Bahagian Operasi Khas SPRM Azmi Kamaruzaman kepada Malaysiakini.

“Kita masuk, kita bukan serbu tahu. Untuk mengesahkan beberapa perkara dulu la.

“Dia libat perbelanjaan PHB. Salahguna peruntukan, melibatkan kewangan PHB. Perbelanjaan yang tak sepatutnya PHB bayar,” katanya.

Pengarah kanan SPRM itu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dakwaan salah laku berkenaan daripada seorang pemberi maklumat.

Katnya, kes masih pada peringkat awal dan SPRM sedang berusaha untuk memastikan jika terdapat asas untuk menjalankan siasatan penuh.

Azmi berkata pegawai penyiasat SPRM menghabiskan masa kira-kira tiga jam di pejabat PHB semalam dengan menyoal beberapa pegawai PHB dan mengambil beberapa dokumen.

Ditanya jika pegawai berkenaan telah disoal, Azmi berkata mereka masih belum sampai ke peringkat tersebut.

“Belum. Kena sahkan dulu, beberapa perkara dengan menyemak dokumen yang diambil dari PHB semalam.

“Kalau dah confirm terlibat, kamu semua akan tahu siapa dia,” katanya.

PHB ialah syarikat pelaburan milik kerajaan yang diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia ditadbir oleh lembaga pemegang amanah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut laman webnya, PHB telah ditubuhkan pada 2006 sebagai sebuah syarikat pelaburan hartanah "dimandatkan oleh kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia".