Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesara rugi RM4.7 juta diperdaya pelaburan tak wujud

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila kerugian lebih RM4.7 juta akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 63 tahun itu melihat iklan pelaburan saham berkenaan menerusi laman Facebook pada Mac lepas sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya diminta membuka satu akaun pelaburan iaitu Foreign Direct Investment (FDI) Hub bertujuan melabur dalam pasaran saham tempatan dan dijanjikan keuntungan 11 hingga 13 peratus nilai pelaburan yang dibuat, selain itu lagi lama pelaburan dibuat, peratusan keuntungan turut meningkat.

"Tertarik dengan pelaburan itu, mangsa membuka akaun FDI Hub seperti diminta dan telah membuat 42 transaksi sebanyak RM4,749,214.00 hingga akhir Mei lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata setelah keuntungan mencapai RM11.3 juta, mangsa cuba membuat pengeluaran wang daripada sistem FDI Hub itu, namun mendapati tiada sebarang kemasukan duit ke akaun bank miliknya.

Dia berkata mangsa yang mengesyaki telah ditipu membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, di Shah Alam pada 12.30 tengah malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-Bernama