Skip to main
Logo Malaysiakini

Isteri Daim dapat sementara pasport untuk ke Swiss, Singapura

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport isteri bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, bermula hari ini sehingga 30 Jun.

Hakim Azura Alwi memberikan lampu hijau kepada permohonan Na'imah Abdul Khalid yang meminta pasportnya diserahkan untuk seketika bagi membolehkan dia menghadiri pameran seni Art Basel di Basel, Switzerland, selain mesyuarat kerja di Singapura.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membuat sebarang bantahan atas permohonan tersebut.

Menurut salinan afidavit yang menyokong permohonan pelepasan sementara pasportnya itu, Na'imah menyatakan pameran Art Basel akan berlangsung dari 10 hingga 16 Jun.

Melalui afidavit tersebut, Na'imah berkata dia perlu berada di Singapura bagi tujuan kerja untuk bertemu beberapa pihak yang penting berkaitan dengan syarikatnya.

Dia juga menjelaskan akan kembali ke Malaysia pada 30 Jun dan segera menyerahkan kembali pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah jenayah kini memegang pasport Na'imah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM250,000 selepas dia didakwa di mahkamah atas kes gagal mendedah aset yang dimilikinya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Na'imah untuk mendapatkan semula pasport tersebut secara kekal, namun mengekalkan hak untuk memohon pelepasan sementara dokumen perjalanan tersebut.

Pada 23 Jan lalu mahkamah sesyen memerintahkan pasport Na’imah diserahkan sebagai sebahagian daripada syarat jaminan yang dikaitkan dengan pertuduhan jenayahnya atas dakwaan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wanita berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Tuduhan tersebut menuduhnya melakukan kesalahan dengan memberikan kenyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.

Dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 13 dan 14 Disember tahun lalu, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000.

Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa bidang tanah, hartanah dan kenderaan Mercedes-Benz.

Mengikut lampiran yang disertakan pada pertuduhan dan dibacakan di mahkamah, antara lapan hartanah yang terlibat ialah Menara Ilham di Kuala Lumpur; sebuah rumah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur; serta enam bidang tanah iaitu lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Daim juga menghadapi tuduhan jenayah yang serupa di mahkamah.