Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesanan Wan Salim pada pengganti: Jangan gopoh keluarkan fatwa

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Tidak gopoh dalam mengeluarkan fatwa antara pesanan Wan Salim Wan Mohd Nor kepada bakal penggantinya yang akan menyandang tugas sebagai Mufti Pulau Pinang.

Wan Salim, 80 yang menamatkan tugas selepas 10 tahun berkhidmat di Jabatan Mufti Pulau Pinang semalam juga meminta penggantinya membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.

Malah dia juga menyarankan mufti yang baru tidak terlalu terikat dengan pandangan ulama terdahulu, sebaliknya berpandukan kepada nas al-Quran dan hadis yang sahih sahaja.

“Saya percaya dia (bakal penggantinya itu) berkelayakan dan dari segi pendidikan dia juga sesuai jadi mufti. Cuma diharapkan dalam isu-isu fatwa atau menfatwakan (sesuatu kelak ia) tidak gopoh, perlu mempertimbangkan dari pelbagai sudut supaya keputusan yang dibuat itu menepati kehendak syarak.

“Yang keduanya, utamakan kemaslahatan atau kepentingan awam dalam isu fatwa ini. Macam saya dulu juga, sebelum dilantik sebagai mufti saya adalah ahli akademik, jadi dalam bidang akademik berbeza dengan fatwa.

“Saya percaya dia (bakal penggantinya) berkelayakan dan dari segi pendidikan dia juga sesuai jadi mufti. Cuma diharapkan dalam isu-isu fatwa atau menfatwakan (sesuatu kelak ia) tidak gopoh, perlu mempertimbangkan dari pelbagai sudut supaya keputusan yang dibuat itu menepati kehendak syarak.

“Yang keduanya, utamakan kemaslahatan atau kepentingan awam dalam isu fatwa ini. Macam saya dulu juga, sebelum dilantik sebagai mufti saya adalah ahli akademik, jadi dalam bidang akademik berbeza dengan fatwa.

“Fatwa kita mencari maslahah (kebaikan) atau pun kepentingan awam dan oleh kerana itu kita tidak seharusnya terikat dengan pandangan ulama-ulama terdahulu, kita cuma terikat dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih sahaja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fatwa boleh berubah mengikut zaman

Mengulas lanjut perkara itu, Wan Salim berkata fatwa yang dikeluarkan ulama terdahulu kebiaasannya hanya sesuai berdasarkan konteks zaman ketika itu.

“Pandangan manusia ini boleh berubah-berubah. Pandangan ulama dahulu dia keluarkan pandangan untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul pada zaman mereka dan situasi mungkin berubah dan fatwa ini dia tidak rigid, ia mengikut perubahan zaman, tempat, situasi, budaya, manusia dan sebagainya.

“Jadi, jangan terlalu terikat dengan pandangan ulama silam walaupun kita menghormatinya, selagi mana ia relevan kita terima tapi kalau pandangan itu ketinggalan atau tidak relevan dengan zaman kita maka kita lebih fahamlah dengan zaman kita dengan zaman dulu walaupun betapa alimnya orang itu, dia tidak terselamat daripada melakukan kesilapan. Lebih-lebih lagi tentang isu-isu yang timbul beratus tahun kehadapan.

“Itulah nasihat saya, supaya utamakan kemaslahatan manusia, terutama umat Islam. Keduanya jangan terlalu rigid,” tegasnya.

Jaga sentiviti pelbagai kaum

Selain itu, Wan Salim berkata menjadi mufti di negeri yang ditadbir oleh pemimpin bukan Islam juga merupakan cabaran baginya lebih-lebih lagi Pulau Pinang yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

“Itulah yang kita kena ada kebijaksanaan dalam memberi pandangan supaya tidak menyentuh sensitiviti kerana kita perlu mengakui masyarakat Malaysia khususnya di Pulau Pinang ini terdiri daripada masyarakat majmuk, kita hidup bukan sesama umat Islam saja tetapi kita hidup bersama dengan penganut agama lain juga.

“Jadi, perlu jaga sensitiviti itu dalam apa fatwa yang dikeluarkan atau pandangan seorang mufti perlu mengambil kira sensitiviti itu.

Menurut Wan Salim, agama Islam sendiri bersifat fleksibel dan mufti boleh memberi pandangan yang sesuai dengan suasana tempatan, budaya dan dalam keadaan masyarakat yang berbilang kaum.

“Maknanya kita bagi pandangan dari segi Islam tanpa kita menghina atau memperkecilkan orang bukan Islam. Itu yang kita kata perlukan kebijaksaan,” katanya ketika mengulas pengalamannya itu.

Berjaya selesaikan beberapa isu

Sementara itu, Wan Salim berkata, sepanjang tempoh 10 tahun bertugas dalam perkhidmatan awam terutama dalam bidang agama, dia berasa bersyukur kerana berjaya menyelesaikan beberapa isu di negeri ditadbir DAP itu.

Menurut Wan Salim, antara masalah yang dapat diselesaikan ialah seperti tanah wakaf yang dipertikaikan oleh waris.

“Kesulitan ini kerana kadang-kadang ada dokumen yang tidak lengkap sebab maklumlah tanah-tanah wakaf ini telah diwakafkan oleh pewakaf mungkin lebih 100 tahun lalu.

“Jadi, masa itu kerajaan yang diperintah oleh British sebelum ini tidak memberi perhatian berhubung perkara ini. Jadi, setelah ditubuhkan majlis agama Islam di Pulau Pinang maka pihak majlis agama telah mengambil alih pengurusan dan pentadbiran tanah wakaf ini.

“Maka, bila tidak ada dokumen yang lengkap itu berlaku kesulitan dalam kita mempertahankan status tanah wakaf ini.

“Cuma kita berterima kasih kepada pihak mahkamah kerana apabila kita beri pandangan fatwa dengan mengatakan kalau tanah kubur sebagai contoh jika lebih 50 atau 100 kubur itu tidak munasabah untuk ia menjadi tanah perseorangan.

“Jadi, walau pun tidak ada dokumen yang lengkap tetapi ia dipanggil wakaf dengan perbuatan dan alhamdulillah pihak mahkamah boleh terima hujah dari sudut itu,” jelasnya.

Wan Salim memulakan kerjaya sebagai guru sambilan di Maktab Mahmud Alor Setar pada 1962–1964.

Dia juga pernah menjadi khatib dan imam di Dewan Malaysia, London dan sekembalinya dari Universiti al-Azhar, Wan Salim menjadi pensyarah di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri pada 1975–1980 sebelum menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Wan Salim berkhidmat di USM sehingga dilantik sebagai profesor madya dan bersara pada 2001 sebelum seterusnya berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Universiti Muhammadiyah Malang, Indonesia.