Skip to main
Logo Malaysiakini

SKMM dakwa hantaran FB buli menteri isu Asia Mobiliti

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata beberapa catatan di Facebook menghina dan membuli Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berhubung Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), termasuk dari akaun seorang peguam.

Dalam maklum balas SKMM terhadap surat tuntutan Shamsher Singh Thind berhubung isu itu, ia mendakwa bahawa ini adalah asas di sebalik permohonan untuk Meta menyekat siaran yang dikaitkan dengan syarikat milik suami Yeoh itu.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini bertarikh hari ini, SKMM mendakwa bahawa siaran Shamsher bertarikh 26 Mei itu telah mencetuskan komen dalam talian yang menghina, menyakitkan emosi dan menyinggung perasaan.

SKMM mendakwa pada masa yang sama hantaran Facebook peguam itu disiarkan, terdapat beberapa lagi hantaran menghina di platform media sosial dengan niat untuk mengganggu dan membuli Yeoh.

SKMM berkata bahawa Shamsher tidak cuba menyemak semula dengan maklumat yang tersedia secara umum dan membenarkan hantarannya terus kekal di platform media sosial itu.

Shamser Singh Thind

Kata SKMM lagi, Meta membuat keputusan untuk menyekat siaran Facebook Shamser selepas menilai aspek undang-undang dan asas hak asasi manusia.

SKMM mengulangi bahawa pemantauan proaktif terhadap media sosial dijalankan secara bebas dan tanpa pengaruh mana-mana pihak, termasuk Kementerian Komunikasi, bagi mengekalkan integriti dan kesaksamaan dalam tindakannya.

Bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat SKMM di Cyberjaya hari ini, Shamser mengesahkan menerima surat itu.

Dia juga berkata dia akan meminta penjelasan lanjut daripada Facebook mengenai permohonan SKMM.

”Jika Facebook bersetuju untuk memberikan kenyataan dan menjadi saksi saya (di mahkamah), saya akan meneruskan untuk memfailkan semakan kehakiman sahaja terhadap SKMM.

"Jika tidak, saya akan membawa kedua-dua pihak ke mahkamah," kata Shamser yang menyertai sekumpulan kira-kira 30 orang mengadakan protes senyap di luar SKMM bagi membantah cubaan kerajaan menyekat pengkritik dalam talian.

Sebelum ini, Shamsher membidas SKMM, bertanyakan apa yang tidak benar dan mengelirukan tentang hantarannya yang disekat itu.

Dia menuduh SKMM tidak wajar dalam mendakwa siaran itu melanggar garis panduan Meta, mengatakan platform media sosial itu hanya menyekat siaran di negara berdasarkan undang-undang tempatan.

Ini berlaku selepas SKMM mendakwa bahawa catatan Facebook Shamsher pada 26 Mei berkaitan dengan kontroversi Asia Mobiliti telah melanggar garis panduan komuniti Meta.

Dalam hantaran berikutnya, peguam itu merujuk kepada Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, sambil menyatakan bagaimana dia telah mempertahankan Yeoh berhubung gesaan supaya Yeoh meletak jawatan dan bertanya kepada timbalan menteri itu sama ada dia menggunakan SKMM untuk menutup mulut pengkritik.

Dalam satu kenyataan sebelum ini kepada Malaysiakini, suruhanjaya itu berkata tindakan yang diambil adalah mengikut prosedur operasi standard berdasarkan aduan berhubung siaran itu, yang didakwanya mengandungi unsur-unsur “tidak benar dan mengelirukan”.

Asia Mobiliti dilantik sebagai salah satu daripada dua syarikat untuk menjalankan program Transit Responsif atas Permintaan (DRT) Selangor, projek perintis percubaan bas atas permintaan, selama sembilan bulan.

Pada 29 Mei, Teo dilaporkan berkata bahawa gesaan supaya Yeoh meletakkan jawatan adalah "tidak adil", sambil menambah bahawa masih terlalu awal untuk Yeoh berbuat demikian.

Asia Mobiliti, yang pengasas bersamanya yang lain ialah pengarah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Pramesh Chandran, berkata segala-galanya dilakukan mengikut prosedur ia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan mengenai proses pelantikan itu.