Skip to main
Logo Malaysiakini

Kuasai bahasa Inggeris bukan bermakna pinggirkan bahasa Melayu - PM

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah berganjak daripada usaha memartabatkan bahasa Melayu meskipun dalam masa yang sama mahukan rakyat negara ini menguasai bahasa Inggeris.

Anwar berkata penguasaan bahasa Inggeris bukan bermakna kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu diabaikan.

"Saya menggesa menteri pendidikan dan komunikasi untuk menggerakkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih di negara kita kerana keperluan semasa untuk menjamin masa depan digital dan AI (Kecerdasan Buatan).

"Tapi saya tidak pernah berganjak dari tunggak menjadikan bahasa Melayu itu bahasa penghantar, bahasa lingua franca, bahasa ilmu,” katanya dalam ucap tama pada majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 di Kuala Lumpur malam ini.

Anwar dalam pada itu berkata sesetengah golongan elit dan segelintir ahli akademik bukan Melayu lebih bersemangat memperjuangkan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Menurutnya, tingkah laku sedemikian hanya akan menimbulkan kebimbangan dan syak wasangka dalam kalangan orang Melayu.

"Tak ada masalah mendorong dan menggesa, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tapi jangan beri gambaran seolah-olah kamu mahu meremehkan bahasa Melayu," katanya.

Semalam, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) mengecam Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana tidak menarik balik pekeliling berkenaan Program Dwi Bahasa (DLP).

Ini berlaku selepas 11 SMJK dan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang membantah arahan Kementerian Pendidikan yang mewajibkan sekolah di bawah DLP mengadakan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

The Star melaporkan hampir tiada ibu bapa di sekolah berkenaan mahukan anak-anak mereka mempelajari subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.