Skip to main
Logo Malaysiakini

Usah politikkan DLP: Saifuddin senada Lim

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Saifuddin Abdullah bersetuju dengan pandangan Lim Guan Eng supaya tidak mempolitikkan Program Dwi Bahasa (DLP) untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

“Ia bukan (isu) politik dan saya setuju supaya tidak dipolitikkan. Sebab isu ini isu DLP yang ada syarat-syaratnya," katanya.

Pendirian Saifuddin itu dilihat bertentangan dengan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris (gambar bawah) yang membidas pihak sekolah berhubung isu berkenaan.

Ahli parlimen Indera Mahkota berkata kemelut yang timbul berpunca arahan secara tiba-tiba dikeluarkan oleh kementerian pendidikan baru-baru ini.

"DLP berjalan dengan baik dan mesti diteruskan, yang menjadi masalah muktakhir ini apabila ada satu dua arahan yang mungkin dikeluarkan tidak teratur atau tidak diterangkan dengan jelas.

"Hari ini kita berhadapan dengan komen yang berlaku di Pulau Pinang, saya fikir yang ditimbulkan persatuan ibu bapa guru (PIBG) tersebut adalah mungkin kerana ada arahan baru atau peraturan baru yang ditambah kepada peraturan sedia ada.

"Saya harap Kementerian Pendidikan harus menerangkan apa sebenarnya berlaku di Pulau Pinang.

“Elakkan perkara yang tak sepatutnya timbul yang menganggu perjalan DLP," katanya ketika ditemui selepas forum Bersih, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membidas Bersatu dan Pemuda Umno kerana mempolitikkan Program Dwi Bahasa (DLP) untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Dia berkata adalah tidak adil apabila Bersatu menggambarkan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang memainkan isu 3R (kaum, raja, agama).

Sedangkan rungutan mereka adalah mengenai isu pendidikan, jelas Lim.

Lim berkata bertentangan dengan laporan media tertentu, pihak sekolah tidak menentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kelmarin Razali membidas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan menggelarnya "lembik dan tidak bermaya" dalam menangani bantahan berhubung pelaksanaan satu kelas guna bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina.

Ketua Penerangan Bersatu itu turut mendakwa tindakan lembaga pengarah serta PIBG sekolah berkenaan yang ingkar arahan kementerian seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan.