Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Sumber perikanan diambang kepupusan?

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Hari Lautan Sedunia adalah peringatan tahunan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan kesedaran dan memperingati pentingnya menjaga ekosistem laut di seluruh dunia.

Tanggal 8 Jun bukan hanya menjadi satu tarikh sambutan semata-mata.

Sambutan ini harus diterjemahkan dengan rangka tindakan bagi memastikan sumber perikanan dapat diwarisi serta dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa agar dasar dan undang-undang yang memihak kepada perlindungan alam sekitar dan sumber perikanan harus dilaksanakan dengan tegas demi memastikan kelestarian sumber perikanan negara.

Kebimbangan terhadap kemerosotan sumber perikanan berlaku apabila kita dapat melihat kemusnahan besar terhadap ekosistem marin dan juga kekurangan spesies-spesies ikan yang tertentu yang semakin sukar didapati seperti bawal, kerapu, jenahak dan lain-lain.

Hasil kajian menunjukkan penurunan populasi dan spesies yang terancam adalah spesies ikan yang mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran.

Eksploitasi berlebihan, pembaziran stok perikanan dan pendaratan ikan baja yang tinggi menyebabkan sumber perikanan negara semakin merosot.

Masalah dan isu ini telah lama dibangkitkan tetapi bagaikan tiada suatu titik yang boleh dinoktahkan.

Dasar Agro-Makanan Negara ke-2 (2021-2030) mensasarkan 40 peratus daripada sumber perikanan negara adalah daripada akuakultur dan 60 peratus adalah dari perikanan tangkap (tangkap liar).

Walaupun dasar ini telah ditambah baik berbanding Dasar Agro-Makanan 1.0 (2011 -2022) yang menetapkan kadar 50:50 akuakultur dan perikanan tangkap tetapi ianya tidak mencukupi.

Industri akuakultur yang tidak terkawal merupakan salah satu faktor yang merosakkan sumber perikanan.

Dasar ini akan menggalakkan kawasan hutan paya bakau, pinggir pantai dan kawasan sungai dimusnahkan untuk pembangunan akuakultur.

Kajian menunjukkan 70 peratus daripada sumber marin menggunakan hutan paya bakau sebagai nurseri dan tempat pembiakan.

Oleh itu, ekosistem hutan paya bakau ini seharusnya dilindungi sepenuhnya.

Pengembangan industri akuakultur menggalakkan permintaan yang tinggi terhadap ikan baja.

Industri ini telah menggalakkan nelayan pukat tunda untuk menangkap ikan baja bagi dijadikan sebagai sumber pemakanan ikan ternak/ akuakultur.

Ikan baja merupakan ikan yang tidak atau kurang mempunyai nilai komersial yang ditangkap dan diproses sebagai bahan makanan untuk industri akuakultur.

Berdasarkan statistik perikanan tahun 2021, sebanyak 33 peratus daripada tangkapan pukat tunda ialah ikan baja, iaitu 192,413 tan metrik dari jumlah pendaratan pukat tunda sebanyak 574,836 tan metrik.

Berdasarkan data ini adalah tidak mustahil sumber perikanan akan pupus menjelang 2048 seperti kajian yang dijalankan oleh Organisasi Pertanian dan Makanan (FAO).

Sistem zon yang telah diguna pakai sejak lama bertujuan melindungi sumber perikanan dilihat gagal apabila penguatkuasaan gagal memainkan peranan melindungi kawasan tersebut.

Pencerobohan pukat tunda di kawasan zon A (bawah 5 batu nautika) kerap berlaku menyebabkan konflik antara nelayan zon A dengan nelayan pukat tunda bagaikan tiada kesudahan.

Alat tangkapan terlarang seperti bubu naga dan pukat rawa sorong yang beroperasi di pinggir pantai serta kuala-kuala sungai juga dilihat begitu kebal dan bebas memusnahkan habitat anak ikan.

Bahkan alat-alat tangkapan yang merosakkan sumber perikanan kian banyak dan tiada kawalan.

Kami percaya jika pukat tunda dan alat tangkapan yang merosakkan sumber perikanan dihapuskan berserta dengan tindakan penguatkuasaan tegas dan berkesan, sumber perikanan akan kembali pulih.

Sumber marin akan membiak dengan lebih baik dan lebih banyak.

Sehubungan itu, SAM menggesa agar pengurusan perikanan yang bersepadu yang mengambil kira hubung kait yang erat antara ekosistem dan sumber marin perlu diberi penekanan yang serius.

Kemampanan sumber dan kemerosotan serius terhadap biomas perlu ditangani dengan bijak.

Pihak berwajib harus tegas dalam menjalankan dasar dan polisi bagi melindungi sumber perikanan bagi memastikan industri perikanan negara berkembang seiring dengan kelestarian sumber marin.

Oleh itu, SAM menyeru untuk semua pihak berganding bahu menjalankan usahasama yang bersepadu serta mencari kaedah terbaik untuk menguruskan sumber perikanan secara mapan.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.