Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Sg Bakap: Calon taruhan masih samar, suhu politik mula panas

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Dengan berbaki dua minggu untuk hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, bahang politik di Pulau Pinang khususnya kawasan di bawah Parlimen Nibong Tebal sudah mula terasa.

Parti-parti politik tanah air telah mula mengatur strategi dengan mengadakan perbincangan mengenai calon sesama parti dan bersama rakan sekutu dalam gabungan sebelum memuktamadkan calon yang bakal dipertaruhkan bagi memenangi hati pengundi.

Persembahan politik di pentas PRK Sungai Bakap dimulakan oleh gabungan politik gergasi negara, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah khemah ‘Kerajaan Perpaduan’ apabila sebulat suara bersetuju di peringkat Pulau Pinang pada Isnin lepas agar PKR menghantar calon atas semangat parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan untuk mencuba nasib sekali lagi.

Di blok pembangkang pula, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) sekali gus hampir mengesahkan bahawa PRK Sungai Bakap bakal menyaksikan sekali lagi pertembungan antara PKR dan PAS bagi merebut kerusi yang sama setelah hampir 10 bulan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos lepas.

Calon Perpaduan dijangka diumumkan minggu depan menurut Pengerusi PH dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun PAS pula masih berteka-teki dan tidak memberikan kata putus mengenai tarikh pengumuman calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Biarpun belum mengumumkan calon, gabungan PH-BN dan PN masing-masing bersedia untuk melancarkan jentera masing-masing bagi PRK Sungai Bakap dengan majlis pelancaran jentera PN dijadualkan berlangsung malam ini manakala pelancaran jentera Perpaduan pula akan diadakan esok.

Gambar fail, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

PRK tersebut dilihat medan bagi PKR untuk merampas kembali kerusi Sungai Bakap yang merupakan kubu kuat parti itu selama 10 tahun dari 2008 hingga 2018 sebelum terlepas ke tangan PAS pada PRN 2023, sementara PAS pula tekad untuk mempertahankan kerusi yang disandang itu dengan melancarkan awal tanda pagar #SgBakapKitaKekal.

Terdapat pelbagai spekulasi mengenai kriteria calon yang bakal berentap mewakili kedua-dua parti politik tertua negara itu termasuk calon kitar semula, orang tempatan, ahli keluarga arwah, wanita muda dan bekas pendidik.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar mengesahkan terdapat lima calon termasuk lelaki dan wanita yang diangkat bagi keputusan muktamad di peringkat pucuk pimpinan parti.

"Yang penting kita mengambil kira bukan sahaja dari segi nama-nama yang amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat tetapi juga mereka yang menyumbang bukan sahaja pada hari ini tetapi sebelum ini.

"Kita mahu calon yang dipertaruhkan itu (calon boleh menang) winnable candidate,” kata Naib Presiden PKR itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff berkata parti itu juga telah menyerahkan senarai pendek nama calon kepada pucuk pimpinan PAS pusat bagi membuat pemilihan dan apabila ditanya sama ada senarai calon yang dihantar itu termasuk ahli keluarga Allahyarham Nor Zamri, beliau tidak menafikannya, malah meminta menunggu sehingga keputusan calon diumumkan.

"Selepas di peringkat negeri, ia (nama calon) akan di teliti oleh Majlis Syura Ulama dan seterusnya pucuk pimpinan PAS, yang nak dipilih itu mestilah calon berkelayakan dan setakat ini semua nama kita hantar itu ahli PAS (negeri).

"Nama (calon) lebih dari satu dan kurang dari 10 yang kita telah hantar," katanya.

Walaupun begitu, tumpuan lebih terarah pada gabungan PH-BN dan PN, sebaliknya parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dilihat tidak memberikan sebarang bayangan untuk memasuki gelanggang PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 itu.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

DUN Sungai Bakap kini mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

- Bernama