Skip to main
Logo Malaysiakini

Konvensyen BN Johor lulus lima resolusi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Konvensyen pertama BN Johor yang berlangsung hari ini meluluskan lima resolusi dalam menghadapi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum ke-16 akan datang.

Resolusi itu dibincangkan oleh 1,000 ahli Umno, MCA dan MIC - dengan kehadiran Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi yang juga menteri besar; Presiden MCA Wee Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor; dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyanathan - di Persada Johor, Johor Bahru.

Dalam ucapan perasmiannya, Onn menghargai sumbangan pemimpin BN sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri 2022, dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi berbanding 19 kerusi pada PRU 2018.

Onn turut membacakan lima resolusi iaitu untuk mengukuhkan solidariti di kalangan komponen BN dan rakan BN; memupuk hubungan lebih erat dengan kerajaan perpaduan; memperkasa gerak kerja PRU16; mengangkat agenda pendidikan Bangsa Johor; dan menyuburkan ekonomi Johor.

"Landskap politik yang semakin mencabar menuntut BN Johor untuk memperkasa strategi gerak kerja, baik secara fizikal mahupun melalui media sosial.

"Penguasaan teknologi terkini, termasuk artificial intelligence (AI), adalah kunci untuk memenangi PRU-16," katanya mengenai resolusi memperkasa ke arah pilihan raya umum akan datang menjelang 2027.

Dalam ucapannya, Onn berkata Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem antara wakil rakyat daripada parti itu yang telah menggunakan media sosial secara berkesan untuk berhubung dengan penyokong mereka.

Sementara itu, Wee dalam ucapannya berkata MCA menunjukkan pencapaian yang baik di Johor sejak 2018 - ketika dia merupakan satu-satunya wakil tunggal parti itu di Parlimen dari negeri Johor sehingga pilihan raya negeri lalu.

"Saya dapat melihat bahawa dalam tempoh setahun yang lalu ini, kami telah menguruskan kejayaan kami dengan baik," katanya.

Vidyanathan, yang juga ADUN Kahang, berkata perhimpunan pemimpin dan ahli BN hari ini adalah satu peluang untuk muhasabah bagi meneruskan kebangkitan gabungan itu.

Dia juga menggesa pemimpin parti dan wakil rakyat supaya melihat isu-isu yang boleh menjejaskan sokongan pengundi India bukan dari kaca mata perkauman tetapi isu-isu biasa yang perlu diselesaikan untuk manfaat semua.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir kemudiannya menerima resolusi daripada Onn.