Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarawak bekerjasama dengan Bank Dunia dalam perdagangan karbon

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kerajaan Sarawak telah bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menilai prinsip perakaunan yang perlu digunakan dalam penilaian perdagangan karbon global, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

Kerjasama itu penting memandangkan perdagangan karbon sebagai satu bentuk perdagangan baru agak berisiko dan Sarawak memerlukan panduan daripada Bank Dunia sebagai sebuah badan global yang kredibel.

“Kita perlu bekerjasama dengan dengan pihak yang kredibel memandangkan ada orang akan cuba menipu atau ‘bogus consultants’. Jadi kita perlu dipandu oleh Bank Dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Sedunia peringkat Sarawak di Pusat Agroperhutanan Sabal, kira-kira 60 kilometer dari Serian, semalam.

Menurutnya, berikutan ketiadaan protokol untuk pengiraan karbon dalam perdagangan dunia masa kini, Protokol London 1996 yang merupakan satu perjanjian antarabangsa berhubung pengawalseliaan perpindahan karbon merentas sempadan menjadi garis dasar.

Beliau juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang keperluan kerajaan pusat bagi menambah baik perundangan sedia ada berhubung perniagaan tenaga untuk melibatkan perkara berkaitan perdagangan karbon.

“Perdana Menteri selalu mengatakan kita hebat dalam pengurusan dan perundangan ekosistem kita. Jadi bagi saya,kita perlu bermula dan kita telah diberi sokongan daripada kerajaan pusat,” katanya.

- Bernama