Teo pertahan langkah sekat 'pemain media jahat' sebar berita palsu
Kedudukan Malaysia dalam ranking kebebasan media merosot dan menurut Reporters Without Borders, ia ekoran tindakan kerajaan menyekat portal berita yang mengkritiknya.
Namun, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mempertahankan langkah menyekat "pemain media yang jahat" (media bad actors) dan menegaskan kerajaan tidak boleh membiarkan berita palsu disebarkan.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Teo mengakui langkah kerajaan itu adalah satu tapisan tetapi katanya ia perlu kerana ada sesetengah portal berita yang terus mengapi-apikan sentimen perkauman.
Dia menyebut TV Pertiwi - yang dikaitkan dengan Isma - sebagai contoh, serta blog kontroversi Malaysia Today kendailan Raja Petra Kamaruddin, yang menyifatkannya sebagai laman berita tetapi menyebarkan berita palsu.
"Adakah kerajaan patut biar mereka buat sesuka hati kerana mereka dakwa diri mereka sebagai media?"soalnya.
Menurut Teo, walaupun Raja Petra pernah kalah dalam saman fitnah, namun dia masih terus membuat kenyataan kontroversi.
"Semua tahu Raja Petra di belakang Malaysia Today. Teresa Kok failkan saman fitnah dan dia menang, tetapi apa yang berlaku? Oleh kerana dia muflis, Kok tak boleh laksanakan keputusan mahkamah.
"Raja Petra terus menyifatkan Malaysia Today sebagai portal berita dan dia terus menulis berita palsu. Adakah anda rasa ia perlu diterima?" soalnya lagi.
Teo diwawancara podcast bahasa Cina Malaysiakini, yang boleh diikuti di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts
Kurang pengawalan kendiri
Teo juga mempertahankan pendekatan kerajaan, dengan berkata ia sering dilihat sebagai menyekat kebebasan media ketika berdepan dengan salah laku dalam perkara itu.
Katanya, memandangkan media tidak dapat membuat pengawalan kendiri, kerajaan perlu campur tangan bagi memperbetul salah laku media.
"Kita semua setuju ada 'pemain jahat' dalam media. Tetapi apabila kerajaan bertindak ke atas mereka, kerajaan tak dipuji.
"Tiada siapa sokong kerajaan dengan kata 'ambil tindakan terhadap mereka adalah langkah yang betul'.
"Jika kerajaan tak bertindak, kerajaan kena kritik. Jika bertindak, kerajaan tetap kena kritik. Jadi, kita perlu akui Malaysia belum dapat bergantung kepada pengawalan kendiri media untuk mengendalikan pemain yang jahat."
Hos podcast, editor Malaysiakini Lee Way Loon setuju media perlu pengawalan dan mencadangkan penubuhan sebuah majlis media untuk tujuan itu.
Namun, dia juga mengakui terdapat penentangan terhadap penubuhannya.
Teo kemudian berkata, perlunya sebuah majlis media membayangkan kurangnya pengawalan kendiri dan disiplin kendiri dalam media.
"Jika media dapat melaksanakan pengawalan kendiri dengan berkesan, kenapa perlu tunggu majlis media? Dalam kata lain, adakah anda rasa media kurang pengawalan kendiri tanpa majlis media?"
'Hanya alat propaganda'
Teo turut menjawab kritikan terhadap Kementerian Komunikasi, termasuk langkah untuk tidak lagi mengeluarkan kad perakuan media kepada lidah rasmi parti politik dan mengurangkan tempoh sahnya untuk sesetengah media dalam talian.
Jelasnya, kementerian melihat lidah rasmi parti sebagai alat propaganda yang tidak mematuhi prinsip pelaporan yang saksama.
"Penerbitan seperti Harakah, The Rocket atau Suara Keadilan tidak mengamalkan pelaporan saksama. Harakah tak akan siarkan berita positif tentang (Perdana Menteri) Anwar, dan The Rocket tidak akan siarkan berita positif tentang PN," katanya.
The Rocket adalah lidah rasmi DAP, iaitu parti yang dianggotai Teo.
Dia membangkitkan yang wartawan The Rocket tiada kad perakuan media, yang diperlukan untuk masuk ke bangunan kerajaan seperti Parlimen, Bukit Aman dan Pejabat Perdana Menteri.
Tempoh pemantauan enam bulan
Mengulas lanjut, Teo berkata kurangnya syarat dalam memulakan portal berita dalam talian menjadikan langkah untuk menghalang "pemain jahat" sebagai perlu.
Justeru, katanya, sebab itu kerajaan hanya mengeluarkan kad perakuan media yang sah selama enam bulan kepada portal baru, bagi memantau kewibawaannya.
"Jika 'Ice Cream Daily' mohon untuk kad perakuan media hari ini, saya akan beri layanan sama (kad dengan tempoh dua tahun).
"Namun jika kita dapati ada isu selepas dua tahun dan batalkan kad, mereka mungkin tidak akan kembalikannya dan terus gunakan kad itu secara salah. Susah untuk kendalikannya, kecuali jika polis dilibatkan.
"Dengan begitu ramai yang salah guna media dalam talian, media baru ada tempoh pemantauan enam bulan. Jika mereka terbukti berwibawa, kita akan lanjutkan kad mereka," katanya lagi.
Pada masa sama, Teo menyuarakan pandangan yang progresif berhubung permit penerbitan.
'Permit sudah ketinggalan zaman'
Ditanya berkenaan pertimbangan Kementerian Dalam Negeri untuk meluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada media digital, mencetuskan kebimbangan berhubung risiko tekanan terhadap media, Teo berkata permit penerbitan sudah ketinggalan dan patut dihapuskan.
"Saya rasa tidak perlu permit. Kementerian Dalam Negeri perlu berani dan hapuskannya saja.
"Akhbar bercetak kian merosot, dan kita baca berita di internet. Sejauh mana keberkesanan permit sebagai alat intimidasi sekarang?"
Dia berkata dengan internet yang melangkaui sempadan, mustahil untuk melaksanakan pengawalan menyeluruh.
Justeru, katanya, berbanding menggubal undang-undang untuk operasi media, sebarang pelanggaran lebih baik ditangani menerusi undang-undang yang sesuai.
"Jika anda tanya pandangan peribadi saya, saya kata tak perlu keluarkan permit. Ambil tindakan guna undang-undang apabila ada yang buat salah.
"Media dalam talian tak perlu beroperasi di Malaysia (untuk siar berita tentang Malaysia). Bagaimana anda kendalikannya? Internet tiada sempadan," katanya lagi.
Namun, Teo menjelaskan setakat ini kabinet tidak membincangkan soal perluasan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai