Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes ubah tanah rizab Melayu: SPRM mungkin panggil bekas Exco

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

SPRM mungkin akan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di Perak pada 2012.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata saksi-saksi berkenaan termasuk bekas Exco kerajaan negeri dan petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam perkhidmatan ketika itu.

"Ini adalah peringkat kedua setelah seorang pegawai PTG didakwa (April lalu). Kita sedang teliti minit-minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa kepada kelulusan Exco.

“Saksi-saksi lain dan anggota Exco ini akan kita panggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dan akan ada pendakwaan dalam masa terdekat," katanya.

Azam berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak hari ini.

Pada 30 April lalu seorang bekas timbalan pendaftar hakmilik PTG Perak dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Pada 28 Mei, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan oleh SPRM dan direman selama tiga hari berkaitan kes berkenaan namun dibebaskan pada 30 Mei.

Sementara itu, Azam berkata suspek dibebaskan kerana tempoh reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret telah tamat namun siasatan kes berkenaan tetap diteruskan.

Dalam perkembangan lain, dia berkata akaun tiga suspek kes penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis yang ditahan Rabu lalu akan dibekukan.

Terdahulu, tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) dan imam sebuah masjid di Kangar direman lima hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun lalu.

-Bernama