Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pengarah SRC: Saya tak akan bantah arahan Najib

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail berkata dia tidak akan menolak arahan daripada bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Chong Yik Loong, yang mewakili bekas pengarah SRC Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Najib berjumlah AS$1.18 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika itu, kata Ismee, dia tiada sebab untuk mengesyaki Najib yang juga menteri kewangan.

Chong: Kementerian Kewangan merangkumi menteri kewangan (Najib), yang juga perdana menteri ketika itu dan orang yang melantik anda sebagai pengarah dan pengerusi. (Najib) ada kata putus berkenaan pelantikan pengarah SRC. Dalam keadaan itu, hakikatnya, pernahkah terlintas dalam fikiran anda yang anda boleh menolak arahannya?

Ismee: Saya tak akan tolak (arahan Najib). Saya yakin dia cuba lakukan sesuatu yang terbaik untuk negara dan SRC. Itu hakikatnya.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan Najib untuk memanggil Ismee dan Shahrol selaku pihak ketiga dalam saman tersebut.

Ismee berkhidmat dengan SRC sejak 2011 hingga 2014.

SRC menyaman Najib berhubung dakwaan penyelewengan sebahagian daripada RM4 bilion pinjaman (RM3.6 bilion atau AS$1.18 bilion dalam kadar pertukaran asing antara 2011 dan 2012) yang diterima syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (Kwap) antara 2011 dan 2012.

Kwap ialah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan manakala SRC adalah milik penuh MKD.

Najib, yang juga bekas penasihat emeritus SRC, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta dalam kes berasingan membabitkan penyelewengan RM42 juta daripada syarikat itu.

Ismee bukan sahaja menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Najib membabitkan dana RM42 juta SRC tetapi juga menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion membabitkan bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di depan hakim Fairuz Zainol Abidin bersambung Khamis ini.

SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 di bawah pengurusan baru dengan mendakwa Najib, sebagai penasihat emeritus plaintif, telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa secara peribadi bagi mendapat manfaat daripada dana syarikat, dan menyalahgunakan berbilion ringgit.

SRC memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugiannya akibat pecah amanah dan menuntut bekas perdana menteri itu membayar balik RM42 juta.

Syarikat itu juga memohon perintah mahkamah supaya Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 bilion yang dialaminya, serta membayar balik sejumlah AS$120 juta dana yang didakwa dimasukkan ke akaun bank bekas perdana menteri itu.

[Baca berita asal]