Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri Sabah nafi tak pernah hadir mesyuarat MM2H

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew menafikan dakwaan dia tidak hadir mesyuarat bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Liew menjelaskan sementara dia hanya hadir ke satu daripada lima mesyuarat yang dijadualkan, baki empat mesyuarat lagi dihadiri wakilnya.

"Saya hadir ke mesyuarat yang dipengerusikan Tiong pada 11 Mei tahun lalu di Putrajaya.

"Kami tidak pernah diundang untuk apa-apa mesyuarat untuk secara khusus membincangkan program (Malaysia Rumah Keduaku, MM2H)," kata Liew dalam kenyataan hari ini.

Dakwanya lagi, berdasarkan laporan yang diterima, program MM2H tidak dibincangkan dalam mesyuarat. Namun dia tidak menyatakan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Semalam, Tiong mendakwa Liew tidak hadir ke mesyuarat, mahupun menghantar wakil, bagi membincangkan permohonan MM2H di Sabah.

Tiong King Sing

Mengulas lanjut, Liew menjelaskan mesyuarat yang diadakan pada November dan Disember 2023 serta Januari 2024 dihadiri sama ada oleh timbalan setiausaha tetap 1, pegawai penyelidik kanan Lembaga Pelancongan Sabah atau timbalan setiausaha tetap dan setiausaha tetap kementeriannya.

Dia berkata Tiong hanya mempengerusikan satu daripada lima mesyuarat yang diadakan - dengan mesyuarat lain dipengerusikan timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan atau ketua setiausaha kementerian.

Dengan program itu mendapat kelulusan kerajaan Sabah tahun lalu, Liew menegaskan Tiong tidak seharusnya meletakkan program MM2H di Sabah dan Sarawak bersama-sama dengan program di Semenanjung, memandangkan ia memiliki dasar berbeza.

"Kami setuju dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa Sabah dan Sarawak ada syarat sendiri untuk program itu.

"Maka, Sabah akan mengambil langkah susulan yang sewajarnya," katanya lagi.

Menurut laporan Malay Mail, antara perbezaan MM2H yang dilaksanakan persekutuan dengan Sarawak adalah syarat deposit tetap yang perlu disediakan peserta, dengan Sarawak menetapkan RM150,000 manakala kerajaan persekutuan menetapkan RM1 juta.

Pada 7 Jun lalu, Liew mengumumkan Sabah akan melancarkan program MM2H sendiri memandangkan ia tidak bertentangan dengan dasar negara, selepas kerajaan persekutuan pada 27 Mei menggantung operasi semua ejen berlesen yang mengendalikannya tanpa sebarang notis lanjut.

Tiong kemudian mendakwa Liew gagal memahami keseluruhan dasar tersebut.