Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mereka bukan setinggan, kamu jadikan mereka setinggan' - Khalid Samad

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menyelar tindakan pihak berkuasa memotong bekalan elektrik dan air di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur sehingga menjejaskan kira-kira 37 keluarga yang masih tinggal di situ.

Katanya, kerajaan sepatutnya mendengar serta melayan permintaan penduduk dan tidak berpihak kepada pemaju.

"Bagaimana mereka (boleh) dilayan begini? Potong api, potong air dan diusir keluar. Mereka bukan setinggan tapi kamu jadikan mereka setinggan dan kamu mengutamakan pemaju.

"Sedangkan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) ditubuhkan untuk menjaga penduduk, bukan menjaga pemaju," katanya pada sidang media bersama penduduk di Dewan KRT Kampung Sungai Baru, hari ini.

Kira-kira 37 keluarga penduduk Kampung Sungai Baru terjejas selepas bekalan air dan elektrik dipotong oleh pihak berkuasa, pagi semalam.

Mereka antara kumpulan penduduk yang masih tinggal di kampung berkenaan walaupun sebahagian besar telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menghendaki mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, Khalid mendakwa terdapat sebahagian penduduk rumah teres yang tidak menerima notis tetapi turut dipotong bekalan elektrik dan air serta mempersoalkan peranan serta sumbangan PKB dalam menjaga kebajikan penduduk.

"Apa yang mereka (PKB) telah buat untuk penduduk, selain daripada mengugut, hantar surat suruh keluar sedangkan anda sepatutnya menjaga mereka, bukannya pentingkan pemaju.

"Sekarang ini semua dah kena potong dan saya dimaklumkan ini termasuklah rumah teres yang masih tak dapat notis untuk berpindah keluar," tambahnya lagi.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Namun, penduduk, khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.

Antara tuntutan mereka adalah menaikkan jumlah pampasan daripada RM400 kepada antara RM950 hingga RM1,000 sekaki persegi.