Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan tak boleh terus berdiam diri isu Firdaus Wong'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kerajaan tidak boleh berdiam diri dan terus menutup mulut dalam isu melibatkan pendakwah kontroversi Firdaus Wong yang baru-baru ini secara terbuka menyarankan cara mengislamkan remaja bukan Islam secara rahsia dan tanpa kebenaran ibu bapa mereka.

Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu membuat kenyataan rasmi bagi mengecam tindakan penceramah itu.

“Kita ada tiga permintaan yang ingin dikemukakan, pertama isu ini berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan oleh itu kita minta jasa baik menteri Fadhlina Sidek untuk mengharamkan atau gam Firdaus Wong dan orang seumpamanya dari jejakkan kaki ke sekolah awam. Kenapa? Supaya ibu bapa bukan Islam boleh menghantar anak mereka ke sekolah tanpa rasa bimbang tentang kesejahteraan anak mereka.

“Kedua, sudah tentu kita mahu tindakan tegas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC), kerana sebelum ini kita tidak ada rekod lampau yang baik dalam isu-isu seperti ini. Namun demikian kepercayaan kami terhadap kedaulatan undang-undang kekal utuh, kami yakin PDRM akan bertindak sewajarnya dan mengambil tindakan tegas terhadap Firdaus Wong diikuti dengan pendakwaan oleh AGC.

“Permintaan ketiga kami adalah Kerajaan Madani perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan sebegini daripada kumpulan yang tertentu terutamanya menyalahguna dan mengambil kesempatan ke atas murid-murid. Bila mereka berdiam diri dan membisu dalam hal ini mereka seolah-olah membenarkan ini berlaku,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Arun berkata demikian mengulas kontroversi melibatkan pendakwah Firdaus Wong baru-baru ini.

Minggu lalu, pendakwah kontroversi Firdaus Wong memuat naik sebuah video di TikTok, yang memaparkan dia menasihati seorang lelaki tentang cara menangani permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.

Video di TikTok itu menunjukkan Firdaus terlibat dalam sesi soal jawab pada satu majlis.

Untuk rekod, terdapat salah tanggapan yang mengaitkan sesi soal jawab itu melibatkan Firdaus dengan seorang guru, yang menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan muslim terhadap anak remaja mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan, sekali gus gesaan untuk menghalang pendakwah itu masuk ke sekolah.

Bagaimanapun, sesi soal jawab itu didapati bukan melibatkan seorang guru tetapi seorang penulis dan pempengaruh Tik Tok. Dia bertanya kepada Firdaus tentang hal yang perlu dilakukan apabila remaja bukan Islam di bawah umur mahu memeluk Islam.

Firdaus berkata remaja itu sepatutnya dialu-alukan untuk memeluk Islam tetapi pengislaman mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan.

Dia turut berkongsi nasihat tentang bagaimana remaja itu boleh mengamalkan Islam secara sembunyi supaya mereka dapat merahsiakannya daripada orang lain.

Menurut Arun sehingga kini sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap Firdaus.