Skip to main
Logo Malaysiakini

PN hantar notis kekosongan tujuh kerusi wakil rakyatnya minggu ini

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Notis kekosongan kerusi tujuh wakil rakyat Bersatu yang terhenti keahliannya akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam minggu ini.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata pihaknya akan memaklumkan terlebih dahulu perkara berkenaan kepada wakil rakyat yang terlibat dalam masa terdekat.

Kata Muhyiddin, ia membabitkan enam kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita akan memberi maklumkan kepada speaker parlimen Malaysia mengenai kes enam ahli parlimen dan speaker DUN Selangor serta negeri Kelantan terhadap dua Adun Selat Kelang dan Nenggiri, Kelantan dalam masa terdekat.. insya-Allah minggu ini.

"Ini susulan keputusan yang dibuat Bersatu melalui pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh ROS dan langkah-langkah yang kita ambil semuanya atas nasihat peguam, yang kita anggap sudah teratur dan kita akan hantar surat itu kepasa speaker," katanya dalam sidang akhbar selepas sesyuarat PN di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kedudukan kerusi enam ahli parlimen Bersatu sama ada kekal atau dikosongkan akan ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid berkata kedudukan wakil rakyat berkenaan, akan ditentukan berdasarkan peruntukan yang terkandung di dalam akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663).

Ahmad Zahid berkata dia juga menunggu keputusan yang akan dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, sekiranya notis pengosongan kerusi dibawa ke sidang parlimen pada hujung bulan nanti.

Johari pada 7 Jun mengesahkan dia belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak, berhubung kekosongan kerusi berkenaan.

Sebelum ini, Muhyiddin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan, terhenti serta-merta.

Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sebelum menghantar notis pengosongan terbabit pihaknya perlu melakukan beberapa proses bagi memastikannya ia mengikut undang-undang parti dan Perlembagaan Persekutuan.

“Dia ada proses dan prosedur lengkap yang mana kita perlu berhati-hati dan kita tak mahu gopoh sebab itu kita mengambil masa susun betul-betul, kita tak mahu atas alasan teknikal kononnya tindakan ini tidak berperaturan.

“Kita perlu berhati-hati dan kita yakin langkah yang telah diambil banyak pihak berkata ia betul, teratur, mengikut perlembagaan persekutuan, ikut akta lompat parti dan selaras dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bersetuju dengan pindaan perlembagaan Bersatu.

“Kemudian nak beritahu kepada semua Adun dan ahli Parlimen Bersatu dia kena patuhi ketetapan yang diambil dan tandatangan. Tetapi yang tidak bersetuju 7 wakil rakyat tadi. Lepas dah selesai baru bawa ke Majlis Tertinggi Bersatu dan apa yang kita buat semua itu teratur,” tambahnya.