Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS kekal bertanding di Sungai Bakap, umum calon 15 Jun

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PAS akan kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada pilihan raya kecil (PRK) 6 Julai depan.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata ini kerana kerusi berkenaan sebelum ini ditandingi parti Islam itu.

"Yang dulu pun PAS yang bertanding, itu kerusi PAS dan kita akan kekalkan kerusi itu kepada PAS.

"Jadi PAS akan menamakan calon yang akan bertanding di situ, bagi kita itu adalah calon PN," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN, di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PAS akan mengumumkan calon mereka pada 15 Jun depan.

"Datuk Idris Ahmad (Pengarah Pilihan Raya PRK Sungai Bakap) maklumkan 15 Jun pihaknya akan umumkan calon," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi, manakala 22 Jun sebagai hari penamaan calon manakala tarikh pengundian awal pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada pilihan raya negeri Ogos lalu Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata PN telah meminda perlembagaannya bagi membentuk Majlis Presiden PN.

Muhyiddin berkata penubuhan Majlis Presiden PN itu bagi memberikan kuasa kepada presiden parti-parti komponennya untuk membuat keputusan berkaitan perkara-perkara dasar di samping membincangkan pembahagian kerusi dalam pilihan raya.

“Kita telah memutuskan untuk meminda perlembagaan PN pada malam ini (tadi) iaitu menambah peruntukan bagi membentuk Majlis Presiden untuk memberi kuasa kepada pimpinan tertinggi yakni presiden-presiden parti atas perkara-perkara dasar yang dirujuk Majlis Tertinggi kepada presiden-presiden parti untuk bincang dan putuskan.

"Keduanya yang mungkin ada kaitan dalam soal pembahagian kerusi atau perubahan pembahagian kerusi juga akan diberikan kepada Majlis Presiden," katanya.

Selain itu katanya, Majlis Presiden juga akan diberi kuasa untuk membuat keputusan berhubung soal disiplin membabitkan parti-parti komponen.