Skip to main
Logo Malaysiakini

Subsidi diesel: Kerajaan tak boleh sentiasa ambil langkah populis - Setpol PM

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim mempertahankan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bagi memperkemaskan sistem pentadbiran negara.

Katanya, kerajaan tidak boleh sentiasa mengambil langkah populis demi memulihkan semula keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan negara.

"Memang kerajaan hari ini tak akan ambil langkah populis. Sebab kita perlu ambil langkah yang lebih berani dan lebih bertanggungjawab untuk kita pulihkan semula kedudukan fiskal dan juga ekonomi semasa.

"Saya percaya kita perlu ambil sikap yang lebih rasional dan lebih munasabah. Kalau nak lakukan perubahan ini, bukan kita lakukan dalam masa yang singkat.

"Kita perlu pulihkan keyakinan membaiki sistem pentadbiran dan kita kena lihat semula pengurusan dan tatakelola. Ini kita perkemaskan satu demi satu, insya-Allah dalam masa tempoh sederhana kita saksikan akan ada perubahan daripada taraf hidup dan kebajikan rakyat termasuk sektor perniagaan dan sebagainya," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan subsidi diesel bersasar.

Perdana Menteri ,Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan untuk memastikan subsidi diesel tidak menguntungkan golongan maha kaya dan warga asing selain mengekang aktiviti penyeludupan diesel.

Sementara itu, Kami turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa langkah itu membebankan rakyat.

"Tentang soal ekonomi, ada tuduhan-tuduhan bahawa ekonomi negara malap dan sebagainya.

“Ini satu persepsi dicipta oleh pimpinan pembangkang yang sebenarnya tidak menyumbangkan kepada usaha kerajaan hari ini untuk memulih dan memperkasa ekonomi.

"Tak betul apabila menuduh kerajaan membiarkan golongan yang terkesan. Kita tak boleh ukurkan keupayaan kerajaan hari ini dalam masa singkat yang tak sampai tempoh dua tahun.

"Kita tingkatkan pemberian STR (Sumbangan Tunai Rahmah). Kemudian SARA (Sumbangan Asas Rahmah) ditingkatkan 10 kali ganda," katanya.

Mengulas lanjut, Kamil berkata segala penjimatan subsidi ini akan disalurkan semula kepada pembangunan pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata harga diesel akan diapungkan dan mengikut harga pasaran.

Harga baru itu membabitkan kenaikan RM1.20 kepada RM3.35 seliter berbanding harga bersubsidi RM2.15 seliter sebelum ini.

Selain itu harga diesel akan dikemaskini secara mingguan, sama seperti petrol RON97.