Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO Sabah bina sekatan halang perobohan rumah penduduk

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Badan bukan kerajaan (NGO), Borneo Komrad membina sekatan bagi menghalang pihak berkuasa daripada memasuki Kampung Teluk Layang di Kota Kinabalu, Sabah.

Pengasas kumpulan itu, Mukmin Nantang berkata mereka menerima maklumat perobohan rumah di Kampung Teluk Layang akan bermula hari ini atau esok.

“Borneo Komrad dan Suara Mahasiswa UMS (Universiti Malaysia Sabah) akan bersama komuniti mempertahankan kampung ini.

"Mohon doa semua dan solidariti," tulis Mukmin.

Kumpulan itu mendakwa sebanyak 15 buah rumah telah dirobohkan di Kampung Mangga semalam.

Wakil Borneo Komrad memberitahu Malaysiakini perobohan rumah di Kampung Mangga masih dilakukan hari ini.

Dia berkata kumpulan itu masih mempertimbangkan sama ada akan membentuk sekatan atau menggunakan papan kayu untuk menghalang pihak berkuasa daripada merobohkan rumah penduduk kampung itu.

Tambahnya, walaupun perobohan rumah di kampung terbabit turut melibatkan penduduk yang tidak memiliki kewarganegaraan, namun ia berbeza dengan perobohan rumah Bajau Laut di Semporna, iaitu di Taman Sakaran Dandai.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata perobohan itu dilakukan kerana isu keselamatan dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Kerajaan Sabah akan membantu masyarakat nomad Bajau Laut di Semporna, yang rumah mereka dirobohkan,” katanya kepada portal berita The Vibes.

Setakat ini kerajaan Sabah masih belum mengeluarkan sebarang penjelasan berhubung keadaan di Kampung Teluk Layang dan Kampung Mangga.