Skip to main
Logo Malaysiakini

PH dijangka pertaruh bekas pengarah IAB di Sg Bakap

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara Joohari Ariffin digambarkan bakal ditampilkan sebagai calon PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

Semakan Malaysiakini mendapati Joohari dilihat mula turun padang serta membuka halaman Facebook (pages) selain akaun Facebook peribadi sedia ada.

Dia juga mengemas kini maklumat pekerjaan di Facebook yang dikemas kini sebagai ‘mantan pengarah IAB Cawangan Utara’.

Sumber memberitahu nama Joohari sebelum ini antara yang disenarai pendek oleh PKR untuk ditampilkan sebagai calon.

“Buat masa ini memang nama Joohari disebut-sebut, pencalonannya ada signifikan memandang dia memang anak tempatan dan berpengalaman dalam bidang pendidikan.

“Ya, kemungkinan besar dia,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini, hari ini.

PRK Sungai Bakap akan berlangsung pada 6 Julai depan selepas kematian wakil rakyatnya daripada PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu Nor Zamri menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 Jun ini sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, Joohari merupakan seorang ahli akademik pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga merupakan anak tempatan Sungai Bakap.

Difahamkan bekas guru itu bersara secara pilihan sebagai pengarah IAB Cawangan Utara pada tahun lepas.

Perkara itu disahkan pihak pentadbiran IAB sendiri ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Selain itu Joohari juga dikatakan mempunyai latar belakang sebagai ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Terdahulu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memaklumkan pengumuman calon PH DUN Sungai Bakap akan berlangsung malam ini, manakala PN dilaporkan akan memperkenalkan calonnya pada 15 Jun.