Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kabinet maklum isu berbangkit kerajaan pusat - negeri'

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Kerajaan meminta setiap negeri merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan ketika beberapa negeri mendesak untuk mendapatkan lebih banyak hak dan faedah.

Walaupun tidak merujuk sebarang tuntutan secara langsung, kabinet hari ini berkata bahawa hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Fahmi Fadzil

“Kabinet mengambil maklum kenyataan beberapa pihak berhubung hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media hari ini.

“Malaysia dibina atas persetujuan semua negeri dan berteraskan prinsip federalisme yang menjadi teras utama Perlembagaan Persekutuan dan kemajuan negara adalah berdasarkan kekuatan bersama persekutuan (kerajaan) dan semua negeri.

“Justeru, Perlembagaan Persekutuan adalah asas dalam memastikan hak negeri dan dalam menentukan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri,” tambahnya.

Dia berkata perbincangan mengenai Sabah dan Sarawak juga berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Ditanya mengenai permintaan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi agar Putrajaya memperuntukkan 30 peratus hasil cukai kembali kepada negeri itu, Fahmi berkata, "rujuk kenyataan saya sebelum ini."

Onn Hafiz Ghazi

Akhbar harian New Straits Times semalam memetik Onn sebagai berkata bahawa permintaan rasmi itu dikemukakan kepada kerajaan persekutuan, berikutan arahan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada Ahad, (9 Jun) Tunku Ismail berkata kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada hasil cukai negeri berjumlah RM48 hingga RM49 bilion setahun perlu dikembalikan kepada Johor.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada Isnin berkata kerajaan negeri bercadang untuk menghantar surat rasmi permintaan berhubung cadangan serupa untuk memulangkan 20 peratus cukai yang dikutip dari negeri itu.