Skip to main
Logo Malaysiakini

PM dulu bukan takut batal subsidi diesel tapi prihatin pada rakyat - Dr M

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Perdana menteri negara sebelum ini tidak membatalkan subsidi diesel bukan kerana takut tetapi prihatin dengan kehidupan rakyat miskin, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menepati janji untuk menurunkan harga minyak jika diberi mandat mentadbir kerajaan persekutuan.

"Kita masih ingat, bila dia kata akan menjadi kerajaan akan turunkan harga minyak. Tapi, hari ini dia naikkan harga diesel RM1.20, kenaikan lebih 50 peratus.

"Kalau naik 10 sen 20 sen tak apa. Ini kenaikkan 50 peratus rakyat akan susah.

"PM sebelum ini bukan takut nak batalkan subsidi tapi prihatin dengan rakyat," katanya di sidang media, di Yayasan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kesemua perdana menteri pada masa lalu bersetuju tentang keperluan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Katanya, perkara itu juga telah dibincangkan sejak 1990-an ketika dia menjadi menteri kewangan lagi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada perdana menteri sebelum ini sanggup melaksanakan langkah tersebut kerana ia bukan keputusan popular.

Katanya, ahli politik mengambil cara mudah iaitu mengekalkan subsidi walaupun berlaku ketirisan semata-mata demi mendapatkan undi.

Namun, Anwar berkata dia yakin keputusan untuk menghapuskan subsidi menyeluruh akan membantu meningkatkan status negara ini.