Ibu bapa Zayn Rayyan akan didakwa di mahkamah hari ini
Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme yang dipercayai dibunuh pada Disember lalu, akan didakwa di mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili bapa Allahyarham ketika dihubungi Malaysiakini.
Fahmi Abd Moin berkata dia dimaklumkan polis berkenaan perkara itu pada jam 5.30 pagi tadi.
"Ya, saya boleh sahkan ibu bapa (Zayn) akan dibawa ke mahkamah pagi ini, di mana mereka dijangka akan didakwa," katanya.
Bagaimanapun Fahmi berkata dia belum dapat mengesahkan mereka akan didakwa di mahkamah mana mahupun pertuduhan terhadap mereka.
Peguam ibu Zayn Rayyan, Mahmud Jumaat juga mengesahkan kepada Malaysiakini yang anak guamnya akan didakwa hari ini.
Polis menahan pasangan suami isteri itu pada 1 Jun lalu bagi membantu siasatan ke atas kematian kanak-kanak berusia lima tahun tersebut.
Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, mereka ditahan selepas polis menemui beberapa petunjuk baru dalam kes itu. Pasangan itu ditahan reman sehingga kini.
Pada 10 Jun lalu, polis dilaporkan membawa ibu Zayn ke rumahnya di Apartmen Idaman di Damansara Damai, dipercayai untuk lakonan semula kejadian bermula kehilangan Allahyarham sehingga mayatnya ditemukan.
Dua hari kemudian, polis turut menahan datuk dan nenek Zayn bagi membantu siasatan.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada malam 6 Disember lalu. Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Polis pada mulanya mengesyaki kematiannya akibat lemas namun kemudian mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh selepas bedah siasat dibuat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai