Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Diesel: Kenapa angka-angka Rafizi tak masuk akal

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Semalam pakar formula minyak iaitu Rafizi Ramli dalam ceramahnya di Sungai Bakap cuba jawab ke mana subsidi diesel berbillion-billion selama ini kononnya hilang. 

Sebelum itu kerajaan (pengarah ekonomi Anwar Ibrahim) kata kerajaan hilang RM7 ke 8 billion subsidi setahun (atau dianggarkan bersamaan 20 juta liter diesel sehari) akibat diesel diseludup keluar sempadan. 

Saya kata angka itu tidak masuk akal.

Rafizi kata ada dua cara penyeludup seludup keluar diesel. Satu jalan darat melalui sempadan, dan kedua melalui nelayan yang seludup diesel melalui bot-bot nelayan yang diisi dari skid tank.

Dia salahkan nelayan pula yang kononnya seludup keluar diesel ini. 

Rafizi, jika nelayan seludup keluar 20 juta liter sehari atau waima separuh dari itu pun dan jual diesel di laut, maka ada berpuluh-puluh ribu bot nelayan yang beroperasi curi, seludup dan jual diesel di atas laut setiap hari. 

Ini umpama mereka buka stesen minyak di atas laut dengan berpuluh ribu bot nelayan setiap hari berkumpul untuk seludup dan jual diesel di tengah lautan. 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) takkanlah tidak nampak berpuluh ribu bot ini berkumpul jual berpuluh juta liter diesel setiap hari? 

Ini tidak masuk akal.

Kelmarin saya telah tulis bagaimana angka RM7 ke 8 billion (atau 20 juta liter diesel sehari) yang diseludup melalui sempadan darat seperti yang kerajaan kata itu pun tidak masuk akal, sebab jika ia benar akan ada berpuluh ribu atau 40,000 lori beratur untuk lolos sempadan setiap hari untuk seludup diesel. 

Jika mereka guna tangki IBC 1,000 liter pun, maka 10,000 ke 20,000 lori diperlukan untuk seludup keluar diesel setiap hari. 

Jika mereka guna lori tanker 20,000 liter sekalipun untuk seludup diesel 20 juta liter, seribu lori tanker ini beratur di sempadan setiap hari untuk seludup diesel. 

Siapa ada nampak seribu lori tanker 20,000 liter beratur di sempadan masuk Thailand atau Singapura bawa diesel setiap hari dan setiap satu lori tanker ini lolos setiap minit? 

Dan mengikut andaian ini, penguat kuasa, polis dan kastam duduk sahaja tengok perkara ini berlaku setiap hari tanpa buat apa-apa.

Terbelit kaki sendiri

Selepas itu di akhir ucapannya, Rafizi mungkin sedar dia telah terbelit kaki sendiri dengan angka-angka yang merepek tersebut. 

Dia akhirnya kata kononnya “tapi yang kebanyakan kes penyeludupan atau ketirisan ini berlaku di dalam negeri.” 

Dan dia kata kononnya subsidi-subsidi ini kebanyakannya hilang kerana ada orang pergi curi diesel dari pam stesen dan jual kepada industri. 

Rafizi, pertama, kalau subsidi itu hilang akibat dalam negeri, ia bukan dipanggil penyeludupan. 

Penyeludupan ini merentas sempadan. 

Takkan ini pun kamu tak tahu? Sebelum ini kawan kamu di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang kata RM7 ke 8 billion subsidi ini hilang diseludup keluar. 

Siapa yang menipu ini?

Kedua, menteri-menteri kamu kata kita guna RM10.8 billion subsidi diesel dalam negeri satu tahun pada tahun 2023. 

Kalau RM7 ke 8 billion diesel ini “kebanyakannya hilang dalam negeri” akibat orang pergi jual diesel kepada industri seperti yang kamu kata semalam, maksudnya dalam 70 ke 80 peratus dari diesel yang diisi di pam-pam stesen di seluruh negara ini orang curi dan jual kepada industri. 

Takkan hanya 20 ke 30 peratus diesel yang diisi di pam itu diisi oleh pengguna sahih dan yang lain semua diisi pengguna haram? 

Ini kencing jenis apa? Saya lihat kamu sudah habis belit dan habis kencing. Kamu ingin tipu siapa lagi?

Cakap sahajalah kerajaan tiada duit untuk beri kontrak-kontrak dan projek-projek kepada kontraktor, kawan, kroni atau suami isteri, dan pelabur pun tak nak masuk. 

Dan kerajaan takut untuk tangani masalah ketirisan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berpuluh bilion, oleh itu kena naikkan harga diesel untuk tambah duit. 

Yang seludup diesel lepas. Yang lari dari bayar SST lepas. Yang kamu tekan dan suruh bayar adalah rakyat. Inilah ekonomi Madani cap Anwar Ibrahim dan Rafizi.

P/s: Rafizi, saya ajak debat kamu takut dan tak berani. Oleh itu saya tulis sahajalah di sini.


ISHAM JALIL ialah bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dipecat oleh parti itu.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.