Skip to main
Logo Malaysiakini

MIER jangka 'pelarasan minimum' untuk subsidi RON95

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan "pelarasan minimum" untuk subsidi RON95 dan menjangkakan pelaksanaannya pada Julai atau Oktober tahun ini selepas kesan rasionalisasi subsidi diesel dinilai.

Pengarah Eksekutif MIER Dr Anthony Dass menjangkakan bahawa pelarasan tidak akan sebesar subsidi diesel baru-baru ini, yang menyaksikan kenaikan ketara dalam harga diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

“Kita perlu melihat kesan (rasionalisasi subsidi diesel)...jadi mungkin kita perlu memberikan tempoh penangguhan dari tiga hingga enam bulan.

“Kita perlu melihat analisis kesannya terlebih dahulu dan cara orang ramai menyesuaikan diri. Daripada itu, kerajaan boleh membuat pelarasan (subsidi) seterusnya kepada RON95.

“Saya fikir ia mungkin pada Oktober kerana memberi mereka (kerajaan) ruang yang luas bagi melihat analisis impak,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Pelaburan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Mengenai sumbangan diesel kepada bakul indeks harga pengguna (CPI), Dass menegaskan bahawa kenaikan satu peratus dalam harga diesel hanya memberi kesan sebanyak 0.2 peratus.

Justeru, dia berkata kesan pelarasan itu hampir boleh diabaikan. Sumbangan RON95 kepada bakul CPI adalah kira-kira 5.5 peratus.

Terdahulu semasa pembentangannya yang bertajuk "Ekonomi Dunia: Cabaran dan Peluang", Dass berkata kebanyakan ketidaktentuan dalaman di Malaysia telah diselesaikan dan ia akan menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

“Bahagian penawaran kini menyokong ekonomi yang dicerminkan dari segi pasaran pekerjaan, serta bahagian permintaan yang membabitkan dari segi pendapatan. Kami juga menjangkakan eksport meningkat tahun ini. Malaysia secara konservatif melihat pertumbuhan pada 3.2 hingga 3.5 peratus tetapi kita boleh naik sehingga lima peratus tahun ini.

"Jika anda melihat kepada dasar monetari, kita tidak menjangkakan sebarang perubahan pada kadar dasar," katanya ketika pembentangan itu, sambil menambah MIER mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.7 peratus pada 2024 dan kadar inflasi pada 3.0 peratus tahun ini.

Pada 2025, MIER menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 4.8 peratus dan kadar inflasi pada 2.9 peratus.

Dass juga mengunjurkan ringgit akan menutup tahun ini pada kadar RM4.65 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan RM4.40 berbanding dolar AS pada 2025, terutamanya dipengaruhi oleh kadar faedah AS.

-Bernama