Skip to main
Logo Malaysiakini

10 tahun penduduk Taman Berjaya Permai derita tekanan air rendah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Penduduk Taman Berjaya Permai, dekat Kuantan, Pahang meminta pihak berkuasa menyelesaikan masalah tekanan air rendah dan kerap terputus bekalan air bersih yang sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Walaupun taman perumahan yang mula didiami pada tahun 2002 itu terletak hanya 16 kilometer dari bandar raya Kuantan, namun penduduk mendakwa rintihan mereka seolah-olah tidak didengari pihak berkaitan.

Timbalan pengerusi persatuan penduduk taman itu, Izhan Ibrahim berkata, berikutan isu berkenaan, terdapat penduduk mengambil keputusan menjual rumah mereka dan berpindah ke tempat lain.

"Saya tiada statistik mengenai jumlah penduduk yang jual rumah mereka, tapi ada yang tiba-tiba kita tengok iklan gantung dekat pagar - rumah untuk dijual.

"Bila tanya mereka cakap nak pindah cari tempat lain sebab tak selesa dengan masalah gangguan bekalan air," katanya ketika ditemui di taman berkenaan, petang semalam.

Dia mendakwa aduan juga sudah dibuat kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), namun setakat ini belum ada tindakan atau penjelasan diberikan oleh pihak berkenaan.

"Sehingga kini belum ada perbincangan atau perjumpaan antara kami dan pihak PAIP bagi membincangkan isu ini," katanya lagi.

Izhan memberitahu, penduduk yang berkemampuan mengambil inisiatif sendiri dengan memasang tangki tambahan di kediaman mereka untuk tujuan menyimpan bekalan air.

"Tapi bukan semua mampu nak buat tangki tambahan, kebanyakan penduduk di sini bekerja sendiri dan ada yang sudah pencen.

"Jadi, saya mohon sangat kerajaan Pahang dan pihak berkaitan bantu selesaikan masalah kami," katanya.

Dia turut mendakwa tangki air utama di taman berkenaan tidak berfungsi dan terbiar tanpa penyelenggaraan.

Belanja hampir RM500 sebulan tukar penapis air

Seorang penduduk, Ramli Hud mendakwa dia membelanjakan hampir RM500 sebulan bagi menukar penapis yang dipasang pada sinki di rumahnya.

"Air dah la 'slow'... kualiti pula kurang baik, jauh beza ketika kami mula-mula pindah ke sini pada tahun 2002.

"Kawasan sekitar taman ini pun dikelilingi banyak taman perumahan baru, jadi mungkin itu jugalah penyebab tekanan air di sini bermasalah," katanya.

Sementara itu, bagi seorang suri rumah, Rozana Kinor, masalah tekanan air rendah dialami penduduk di situ memang menyusahkan urusan harian.

"Kalau yang mampu bolehlah pasang tangki tambahan, macam saya memang tak mampu jadi harapkan air penuh di tangki dulu sebelum boleh buat kerja rumah.

"Kadang-kadang kena tunggu tengah malam baru boleh basuh pakaian dan urusan dapur yang lain," katanya.

Dia juga memaklumkan pernah berulang-alik ke masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya untuk mengambil air apabila bekalan terputus.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemakmuran Kampung (JPKK) Kempadang, Saaban Awang memaklumkan secara keseluruhannya sebanyak 1,800 akaun terbabit dalam masalah bekalan air dan tekanan air rendah di taman berkenaan.

"Masalah ini membabitkan kira-kira 11,000 penduduk di Taman Berjaya Permai dan kawasan sekitar, termasuk sekolah dan masjid.

"Mengikut maklumat daripada penduduk, sejak 10 tahun kebelakangan ini masalah (tekanan air) semakin kritikal.

"Bukan saja ketika musim cuti perayaan dan cuti umum, hujung minggu pun berlaku gangguan bekalan air.

"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan, jadi saya harap ia boleh diselesaikan seberapa segera," katanya.