Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosmah buat aku janji tak berurusan barang mewah mungkin dikait 1MDB

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

Rosmah Mansor memberi aku janji kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tidak memindahkan atau berurusan dengan beberapa beg tangan, barang kemas dan barangan lain yang kemungkinan menjadi sasaran tuntutan mahkamah AS$346 juta (RM1.63 bilion) 1MDB terhadapnya.

Peguamnya Reza Raim dan Muhammad Shafee Abdullah memberi aku janji itu kepada hakim mahkamah sivil Adlin Abdul Majid berhubung tuntutan mahkamah melibatkan barang kemas dan barangan mewah lain yang didakwa dibeli dengan dana yang digelapkan daripada 1MDB.

Semasa pengurusan kes hari ini, peguam 1MDB Lim Chee Wee bersetuju dengan aku janji itu, sementara menunggu pendengaran permohonan 1MDB untuk injunksi bagi menghalang isteri bekas perdana menteri itu daripada berurusan atau memindahkan aset, sementara menunggu pelupusan saman (perbicaraan injunksi masih belum ditetapkan).

Pasukan peguam Rosmah memaklumkan Adlin bahawa mereka memerlukan masa untuk meneliti senarai barangan mewah yang didakwa di bawah milikan dan kawalannya, bagi membuat persediaan menghadapi perbicaraan injunksi.

Semasa prosiding itu, Shafee memaklumkan bahawa pasukan peguamnya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan mahkamah.

Reza juga memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan permohonan lain untuk Adlin menarik diri daripada mendengar saman itu.

Di bawah undang-undang, defendan diberi hak untuk memfailkan permohonan untuk memecat hakim daripada tindakan sivil atas alasan risiko berat sebelah.

Adlin kemudiannya menetapkan 26 Jun untuk mendengar permohonan Rosmah.

Pada 9 Mei, 1MDB dan 10 yang lain memfailkan writ saman AS$346 juta terhadap Rosmah dan seorang individu bernama Shabnam Naraindas Daswani.

Menurut salinan writ itu, 11 plaintif itu mendakwa Rosmah menerima beribu-ribu barang kemas, jam tangan dan beg tangan yang dibeli oleh Shabnam, di mana barang-barang itu didakwa dibeli bukan dengan wang kedua-dua mereka sendiri tetapi dengan dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan plaintif lain.

Selain 1MDB, empat plaintif lain terdiri daripada anak syarikat dana itu, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited.

Plaintif selebihnya merupakan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, dan lima syarikat dalam lukuidasi, iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Mereka mendakwa dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir, termasuk lima daripada plaintif yang kini dalam pembubaran, sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza dalam tidak kurang daripada 14 bidang kuasa untuk pembelian barangan mewah itu.

"Sebanyak 320 pembayaran sedemikian berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat," dakwa mereka.

Selain mendapatkan perintah untuk memaksa Rosmah membayar lebih AS$346 juta kepada mereka, plaintif juga meminta mahkamah sivil memaksanya dan defendan lain membayar ganti rugi atau pampasan yang setimpal untuk dinilai kemudian, ganti rugi teruk dan/atau teladan.