Skip to main
Logo Malaysiakini

'Maklumat bocor' akan ganggu siasatan polis - Saifuddin

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang pengaruh tidak wajar yang boleh menjejaskan siasatan.

Mengulas kebocoran dokumen yang didakwa ada kaitan dengan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, Saifuddin berkata ia hanya mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

"Apa pun, yang menjadi panduan kita biarlah daripada sumber yang autoritatif, maksudnya jaminan yang diberi polis, baik Ketua Polis Negara dan ketua pengarah Jabatan Siasatan Jenayah," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

"Jadi dalam perkara ini, beri rung kepada polis. Kalau ada dikatakan maklumat bocor dan sebagainya, ia akan mengubah atau mencipta sentimen di kalangan masyarakat dan itu memang mengganggu siasatan polis," katanya.

Saifuddin maklum polis yang terlibat dalam siasatan kes itu bukan saja berdepan tekanan tinggi daripada masyarakat, tetapi laporan media berkenaan dakwaan kebocoran maklumat siasatan itu yang mencetuskan lebih banyak spekulasi dan komen.

"Pasukan polis tidak boleh berada dalam keadaan seperti itu.

"Buat masa sekarang mereka fokus menjalankannya (siasatan) secara profesional," katanya.

Ditanya jika siasatan akan dibuat berhubung dakwaan kebocoran maklumat itu, dia berkata polis ada prosedur sendiri untuk mengendalikannya.

"Polis ada SOP kalau perlu siasat, kalau betul dakwaan kebocoran itu. Polis ada kaedah untuk kesan, biar polis lakukan tugas itu," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dakwaan kebocoran itu.

Maklumat itu disiarkan dalam akaun Telegram Edisi Siasat semalam.

Akaun itu membocorkan apa yang didakwa sebagai catatan siasatan polis terhadap Zaim Ikhwan Zahari and Ismanira Abdul Manaf, kurang 24 jam selepas ibu dan bapa Zayn Rayyan itu didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.