Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO: Henti tindas Bajau Laut atau kami turun ke jalan

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Tekanan agar kerajaan menghentikan sebarang usaha untuk terus menindas masyarakat Bajau Laut di Sabah semakin memuncak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berikrar untuk turun ke jalan membuat bantahan jika ia berterusan.

Dalam sidang media bersama yang mewakili 126 NGO, Pengarah Mandiri Borneo Wong Kueng Hui berkata kumpulan itu akan terus memantau keadaan di Sabah sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Kita akan pantau apa yang berlaku di Sabah jika berterusan, kita akan susun strategi, tetapi kita sudah ada perancangan (untuk demonstrasi)," katanya.

Desakan itu berlaku selepas Pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang mengecam operasi merobohkan rumah Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna - Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat, dan Pulau Sibuan.

Ketika ditanya sama ada terdapat sebarang tempoh masa khusus diberikan untuk kerajaan, Wong berkata tarikh dan tempat demonstrasi akan diputuskan kemudian.

Mengetuai pakatan NGO itu, Pengerusi Liga Rakyat Demokratik Abdul Muqit Muhammad menyatakan lima tuntutan agar kerajaan bertindak pantas terhadap situasi yang dihadapi masyarakat Bajau Laut.

Antara lima tuntutan itu ialah agar kerajaan menghentikan serta-merta operasi pengusiran yang melibatkan pemusnahan rumah milik masyarakat Bajau Laut di Sabah.

Kedua, Abdul Muqit menggesa kerajaan menyediakan tempat perlindungan dan 'perumahan alternatif' kepada keluarga terjejas yang kehilangan tempat berteduh.

“Agihkan pampasan yang setimpal untuk rumah penduduk Bajau Laut yang dirobohkan yang terjejas.

“Menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam pembakaran dan pemusnahan rumah serta kerosakan ladang kampung.

“Dan akhir sekali, tubuhkan Jawatankuasa Khas merentasi pelbagai agensi kerajaan, kementerian, masyarakat sivil dan wakil daripada komuniti yang terjejas untuk merangka penyelesaian jangka panjang yang berdaya maju dan berperikemanusiaan serta mengelakkan kejadian ini berulang pada masa hadapan,” katanya.

Pada 7 Jun lalu, kerajaan digesa menubuhkan pasukan petugas bagi menangani isu membabitkan masyarakat Bajau Laut.

Sekolah kendalian komuniti Iskul Sama DiLaut Omadal dalam satu kenyataan yang disiarkan di Instagram, mencadangkan pasukan petugas itu memulakan perbincangan dengan Filipina dan Indonesia untuk membangunkan pendekatan kolaboratif untuk melindungi Bajau Laut sebagai penduduk asli di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Pada 10 Jun lalu, dilaporkan kebakaran memusnahkan 15 rumah setinggan ketika perobohan di Kampung Kalansanan, dekat Inanam.

Walaupun pihak berkuasa menafikan menyebabkan kebakaran, NGO itu mempertikaikannya, sambil menambah bahawa 40 rumah musnah dan bukannya 15 seperti yang dilaporkan.

Menyentuh tentang nasib masyarakat itu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim baru-baru ini berkata bahawa komuniti itu telah tinggal di bahagian Sabah selama berabad, bahkan sebelum Malaysia wujud.

Sambil mengakui bahawa ramai daripada mereka tidak berdokumen, dia berkata kerajaan yang bertanggungjawab akan mengiktiraf kesusahan, sejarah dan tradisi mereka.