Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebakaran di taman tema Genting Highlands

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Kebakaran berlaku di taman tema Genting Highlands di Pahang awal petang ini, menurut catatan media sosial dan anggota bomba.

Berdasarkan gambar dan klip video yang telah tular, api yang marak telah menyambar beberapa bahagian bangunan di taman tema itu.

Seorang netizen dalam ciapannya di X mendakwa bahawa kebakaran berlaku di Sky Avenue, yang merupakan pusatbeli-belah yang menempatkan restoran, bar, pawagam dan kedai runcit.

Menurut maklumat awal yang dikumpul Malaysiakini, Balai Bomba dan Penyelamat Genting mengerahkan jentera bomba dan penyelamatnya ke tempat kejadian selepas mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu sejurus sebelum jam 5 petang.

Difahamkan pihak berkuasa juga telah meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, serta daripada rakan mereka di sempadan Selangor.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai komunikasi Genting Highlands untuk mendapatkan ulasan segera mengenai kejadian itu.

Sementara itu, AstroAwani memetik Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Pahang menyatakan anggota bomba tiba di tempat kejadian pada jam 5.18 petang, terdiri daripada empat anggota bomba dari Genting Highlands, 16 dari Bentong, dan 16 lagi dari Janda Baik.

Ia berkata kebakaran pada mulanya melibatkan tingkat dua bangunan itu sebelum merebak ke tingkat empat.

Dalam satu kenyataan, Resorts World Genting berkata kebakaran itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang, lebih awal daripada waktu 4.55 petang yang dipetik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Pemindahan dilakukan serta-merta bagi memastikan orang awam terhindar dari bahaya. Pasukan bomba kami bertindak segera untuk memadamkan kebakaran.

"Kami terus memantau keadaan dan akan memberikan kemas kini semasa," katanya.

Api akhirnya dapat dipadamkan pada pukul 7.00 malam, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ismail Abdul Ghani kepada Malaysiakini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai komunikasi Genting Highlands untuk mendapatkan ulasan segera mengenai kejadian itu.