Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan sembilan individu 'tanpa dokumen' di protes air Sabah

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

Polis Kota Kinabalu telah menahan sembilan individu tanpa dokumen pengenalan diri yang awal hari ini menyertai protes di luar pejabat ketua menteri Sabah.

Agensi berita Info X memetik Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Kasim Muda sebagai mengesahkan penahanan itu susulan perhimpunan #KamiMahuAirSabah yang dilaporkan bermula jam 3 petang hari ini.

“Sebaik mereka beredar menaiki kenderaan, polis telah membuat pemeriksaan di dalam van dinakki mereka dan didapati sembilan individu tidak memiliki dokumen.

"Semua mereka sudah dibawa ke balai polis dan dalam proses dokumentasi lagi," katanya seperti dilapor.

Malaysiakini difahamkan mereka yang ditangkap dikaitkan dengan sekolah tempatan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, yang dikendalikan oleh NGO yang berpangkalan di Semporna.

Kasim berkata polis juga akan menyiasat peserta dan penganjur perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Awal hari ini, The Vibes melaporkan lebih 80 pelajar telah mengadakan aksi duduk bantah selepas gagal menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Hajiji Noor yang tidak berada di pejabat di Menara Kinabalu ketika peserta perhimpunan tiba kira-kira jam 3 petang.

Menurut portal dalam talian itu, kumpulan itu enggan berganjak walaupun ditemui Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmy Yahya yang menawarkan untuk menerima memorandum mereka yang menyorot masalah air di negeri itu.

Bernama memetik Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Negeri sebagai berkata, kementeriannya kini dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan bekalan air stabil di semua kawasan di negeri itu.

Dia dilaporkan berkata Jabatan Air Negeri Sabah juga telah melaksanakan program meningkatkan tahap bekalan air bersih khususnya kepada penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Di Tawau kita sedang membina empangan (air), membina Loji Rawatan Air (LPA) di Lahad Datu dan memulihkan bekalan air di Sandakan.

“Bekalan air ini tidak bermakna bercakap hari ini dan esok semuanya akan ada, ia memerlukan masa yang munasabah untuk dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Menara Kinabalu.

Dilaporkan juga bahawa ketegangan meningkat apabila Kassim menghampiri peserta perhimpunan dan menggesa mereka beredar, tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Sehingga kira-kira jam 10 malam, sekumpulan peserta perhimpunan masih berkumpul berhampiran tapak protes, di bawah pengawasan polis.