Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontraktor kelas F tuntut kerajaan naik harga tawaran projek

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) menuntut kerajaan agar menaikkan harga tawaran bagi projek kerajaan sebanyak 30 hingga 35 peratus.

Presidennya Tukiman Radion berkata ia bagi menampung kos harga bahan binaan yang naik susulan pelarasan subsidi diesel oleh kerajaan.

"Kesan daripada kenaikan harga diesel sebanyak 55 peratus, rata-rata harga bahan binaan dan (sewa) jentera turut mengalami kenaikan harga.

"Jadi, kita minta kerajaan melalui MOF (Kementerian Kewangan) mengeluarkan (arahan) pekeliling untuk tawaran harga bagi projek kerajaan akan datang dinaikkan kepada 30 hingga 35 peratus," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Perkobf Malaysia yang ditubuhkan sejak 1997 merupakan badan yang mengelola hal ehwal kontraktor bumiputera kelas F dengan ahli berdaftar seramai 15,000.

Kementerian Kewangan pada Ahad lalu mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dijual tanpa subsidi pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2024.

Cadang JKR apung harga tawaran kontrak

Tukiman turut meminta agar kerajaan menyemak semula kadar harga bahan binaan mengikut harga pasaran terbaru selepas berlaku kenaikan harga.

Menurutnya, pada masa sekarang, harga bahan binaan bagi projek kerajaan adalah berdasarkan jadual kadar kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kita mendapat maklumat daripada syarikat menjual bahan binaan, (harga) batu bata yang berasaskan pasir dan simen mengalami kenaikan daripada RM180 kepada RM210 sepalet dan batu konkrit pula dari RM95 kepada RM105 setan. Manakala, harga sewa Lori tiga tan untuk mengangkut bahan binaan juga naik daripada RM450 kepada RM700.

"Kontraktor kecil seperti kami juga menggunakan tong sampah roll on roll off (RORO) bagi mengangkut sisa binaan yang sebelum ini harganya sekitar RM200, tetapi sekarang meningkat kepada RM250.

"Dengan kenaikan ini, kontraktor kecil masih menggunakan kadar harga lama yang turut diguna pakai oleh jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta GLC (syarikat berkaitan kerajaan)," tegasnya.

Jadual kadar kerja adalah senarai panduan pengiraan kos bagi projek kerajaan yang digunakan untuk mengira kadar harga bahan berasaskan kuantiti atau pelan dan spesifikasi.

Sehubungan itu, Tukiman mencadangkan agar JKR boleh mengapungkan harga tawaran kontrak kerajaan sementara menunggu kadar harga bahan binaan disemak semula.

"Kesannya, harga tawaran projek boleh disesuaikan mengikut harga bahan binaan semasa kerana ada kemungkinan harganya sentiasa berubah.

"Kita bukan tak sokong langkah kerajaan, tapi kenaikan ini terlalu mendadak dan beri kesan kepada kontraktor kecil," tambahnya lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Azman Yusoff turut mengesahkan kenaikan harga bahan mentah seperti campuran siap konkrit serta bahan binaan meningkat sebanyak 30 peratus.

“Selain itu, berlaku juga kenaikan sewaan perkakasan mesin seperti jentera berat, jentera eskavator, jengkaut dan penurap, bagi projek infrastruktur," katanya seperti dilapor Sinar Harian, semalam.

Pada 11 Jun lalu, FMT turut melaporkan syarikat penunda kenderaan dan pengeluar bahan binaan menaikkan harga perkhidmatan susulan penarikan subsidi diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia bermula 10 Jun.