Skip to main
Logo Malaysiakini

Armand sokong Umno terima semula bekas ahli terbukti setia

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Seorang lagi tokoh bersuara bagi menggesa parti itu membuka pintu kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung namun menunjukkan kesetiaan kepada Umno.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata pucuk pimpinan mesti menunjukkan jiwa yang besar dengan memberi peluang kepada bekas ahli untuk kembali berjuang bersama.

Apatah lagi, katanya, jika individu terbabit terbukti tidak berganjak sokongannya kepada Umno atau tidak menyerang parti ketika keahlian mereka digantung ataupun dibatalkan.

"Maknanya mereka masih menunjukkan komitmen mereka, masih menunjukkan kesetiaan walaupun parti telah memecat mereka, parti telah menggantung mereka.

"Mereka tetap secara konsisten memberi sokongan, dukungan kepada Umno dan mereka sendiri memohon sokongan untuk kembali kepada parti.

"Bagi saya kepimpinan tertinggi Umno khususnya MKT perlu membuka ruang untuk menerima mereka kembali," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Pun begitu Armand yang juga seorang senator berpendapat, ketegasan mesti ditunjukkan Umno ke atas individu yang bertindak sebaliknya.

Perlu tetapkan syarat

Bagi bekas ahli yang menggunakan platform pembangkang untuk menyerang Umno atau media sosial, pintu perlu ditutup dengan kemas bagi mengelak mereka diterima semula.

Pada 26 Mei lalu, gesaan sama pernah dibuat. Ia dinyatakan ahli MKT Umno Jalaluddin Alias yang berpendapat parti itu perlu bersedia menerima bekas pemimpin dan ahli parti yang telah disingkirkan sebelum ini.

Jalaluddin yang juga pengerusi Umno Negeri Sembilan berkata, ada dalam kalangan individu tertentu yang disingkirkan selepas proses pemutihan mahu menjadi ahli Umno semula selepas melihat keadaan parti ketika ini.

Tajuddin Abdul Rahman

Susulan kenyataan Jalaluddin, bekas ahli MKT Tajuddin Abdul Rahman memaklumkan kepada Malaysiakini, dia sudah empat kali mengemukakan rayuan untuk kembali ke pangkuan Umno.

Bagaimanapun, katanya, tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Umno.

Armand yang dilihat sebagai antara orang kuat bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, peluang kedua yang diberikan Umno haruslah bersyarat.

"Selaku bekas MKT saya berharap dan mendoakan agar MKT kali ini boleh mengambil peduli dan boleh mempertimbangkan untuk menerima mereka kembali terutama pemimpin yang menunjukkan kesetiaan.

"Tapi letakkan syarat kepada mereka, iaitu mereka harus terima hakikat mereka kembali kepada Umno kerana menunjukkan kesetiaan dan menunjukkan mereka sentiasa memahami prinsip perjuangan parti Umno," tambahnya.

Jika tindakan yang tidak disenangi diulangi semula, katanya, MKT boleh mengambil tindakan tegas.

Pada masa sama, menurut Armand, berbeza pandangan dalam kalangan ahli dan pimpinan adalah perkara biasa dan ia tidak boleh dianggap sebagai "membangkang" ketua.