Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Kini bukan lagi hanya komedi berdiri

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

KOMENTAR | Kami lahir dan membesar pada zaman mesen taip dan TV Sanyo hitam putih. Kami hanya kenal akhbar Utusan Melayu, Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Kami tidak baca akhbar berbahasa Inggeris kerana media itu tidak sampai di kampung kami.

Kami hanya kenal ustaz yang mengajar di pondok berdekatan. Kami kenal asas tauhid dan fikah kerana kata ustaz, tak tahu tauhid dan fikah seperti tidak kenal kejadian alam.

Kami tidak bantah kerana sebagai anak kampung kami diajar untuk patuh ajaran ustaz. Baik kata ustaz, baiklah kata kami. Haram kata ustaz, haramlah kami.

Tidak jauh dari rumah kami ada sekolah pondok yang melahirkan ahli agama. Dari pondok itulah lahirnya imam dan bilal di beberapa kampung. Dari pondok itu jugalah lahir aktivis PAS yang giat mengajar tentang negara Islam dan hukum-hakam yang berteraskan syariat Islam.

Ada lepasan sekolah pondok pergi ke Mesir, Arab Saudi dan Jordan. Ada juga yang jadi penarik beca di Kota Bharu, atau pergi ke Singapura sebagai buruh kontrak.

Tidak terkecuali pergi ke Kedah jadi pesawah dan tidak pulang ke Kelantan lagi. Susur-galur mereka itulah yang mencambahkan gerakan PAS di Kedah pada hari ini.

Kami seronok bergaul dengan orang pondok kerana ilmu tentang Islam dan dakwah mereka mustahil disiarkan oleh RTM dan akhbar tempatan. Mereka bercakap tentang akhlak pejuang Islam dan bagaimana menjadi pendakwah yang baik.

Panggil YB lebih mesra

Mereka bercakap tentang sekularisme yang ditinggalkan penjajah kepada sebuah parti politik untuk meneruskan 'agenda kafir' di bumi Islam.

Kami tidak faham sepenuhnya apa yang diajarkan. Mungkin kelemahan kami kerana perut sudah tepu dengan ubi kayu dan belalang bakar sehingga tidak dapat memahami petunjuk yang dibawa ustaz.

Kami hanya angguk kerana orang lain juga angguk. Kami tidak mahu dianggap tidak memihak kepada 'perjuangan Islam'.

Beberapa orang saudara kami yang sudah digelar ustaz dan guru bertanding PRU 1982.

Tiga daripada mereka menang kerusi dewan undangan negeri. Kami gembira amat sangat sampai terlupa untuk bangkit solat tahajud beberapa malam.

Kawan-kawan yang dulunya ‘kawe demo’ kini bergelar Yang Berhormat. Kami panggil YB sahaja kerana mudah disebut dan terasa lebih mesra.

Menjadi YB di kampung yang dipenuhi petani, penoreh dan buruh kasar tidak sukar. Memadai pegang pembesar suara selepas solat fardu di masjid lalu bercerita kisah nabi dan sejarah Islam.

Untuk lebih menghangatkan suasana, sebutlah dalil yang dikatakan daripada Quran dan hadis tentang taghut, kafir zimmi dan seksaan neraka kepada yang tidak mengutamakan perintah Allah.

Beberapa rakan yang belajar di Asia Barat sudah meneladani perangai ustaz dari Terengganu untuk lebih agresif. Ceramah agama dan ceramah politik sukar dibezakan kerana ustaz kata politik merupakan tuntutan Islam.

Kami keliru tapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kecenderungan kepada Islam amat luar biasa ketika itu. Nasib baik belum ada internet dan media baru.

Menjelang 2000 apabila dunia disogokkan dengan ustaz selebriti dan pendakwah bebas, kami semakin keliru dengan 'mazhab baru' ini. Ada yang berdakwah sambil menyanyi dan berlawak jenaka. Sit down comedy.

Budaya baru ledakan maklumat

Ada yang bawa cerita Nabi Muhammad makan roti jala cicah kuah kari. Ada pula yang bawa cerita tiga kali pinangan Nabi Muhammad ditolak. Ada pula ustaz yang kononnya bertahun-tahun kena sihir. Entah jin mana yang datang bertapak di ketiaknya.

Ramai juga ustaz YouTube yang bawa cerita aneh yang tidak pernah kami dengar di sekolah pondok dulu. Ada cerita ketinggian piramid 1.5 kilometer. Ada cerita roh orang sedang tidur pergi entah ke mana.

Saya bimbang juga jika roh itu datang ke rumah saya dan menjerit tengah malam.

Yang paling lawak, seorang ustaz menjawab soalan yang kononnya daripada pendengar di sebuah ruang solat masjid: “Apa hukumnya jika tertelan air mani suami?”

Ustaz yang buat terkebil-kebil menjeling ke ruang solat Muslimah dengan selamba mencelah: “Beghat nanang soalang ni…” sebelum disambut gelak ketawa hadirin.

Pendakwah yang juga ustaz selebriti mendapat rating tinggi daripada pengikutnya. Ceramahnya jadi tumpuan, tapi kesan ceramahnya bagaimana?

Paling aneh ada ustaz bergelar ‘Datuk’ walaupun tidak jelas jasanya. Ada juga yang entah dari mana dapat gelar sehingga hadirin bangga dapat mencium tapak tangannya.

Semuanya budaya baru yang muncul daripada ledakan teknologi maklumat.

Sehingga kini tiada garis panduan untuk menjadi penceramah dan ustaz selebriti. Semuanya boleh talu apa sahaja asalkan mendapat perhatian ramai. Ada yang sanggup guna hadis daif asalkan sesuai dengan lawak penceramah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama negeri dan pihak berwibawa wajar mengambil tindakan sewajar bagi menjamin kemuliaan Islam tidak terus dicemari manusia bergelar ustaz dan lebai jadi-jadian ini.

Memang benar beberapa negeri sudah menarik tauliah mengajar terhadap mereka namun ceramah dan video masih bertebaran di mana-mana.

Grup WhatsApp masjid masih aktif dengan suara sumbang dan fitnah kerana banyak masjid dikuasai golongan yang berasa diri mereka lebih Islam berbanding orang lain.

Demi kepentingan awam

Ustaz tiada tauliah dilarang ke masjid, tapi konco-konco mereka masih memegang kunci masjid sebagai nazir, imam dan bilal. Keadaan masih tidak banyak berubah.

Kata Buya Hamka, menjadi ustaz, pendakwah dan birokrat agama harus pintar duduknya di mana.

“Apabila seorang dai asal Indonesia yang hidup lama di Makkah, kemudian pulang dan berdakwah di bumi Indonesia dengan cara menyamakan Indonesia dengan Makkah, maka dakwahnya akan gagal. Dai yang ingin berdakwah di Indonesia harus mengerti dasar dan sistem pemerintahan Negara Kesatuan Republik Indonesia" (Tafsir al-Azhar, jilid 2: 875).

Dalam konteks semasa pendakwah bukan saja perlu berilmu tapi mesti bijak menggunakan ilmunya untuk kepentingan awam. Keindahan Islam mesti disebar dan dakyah palsu perlu diperangi menerusi Quran dan hadis sahih.

Ustaz yang membawa dongeng palsu sewajarnya dihapuskan kerana mereka tidak membantu perkembangan tamadun Islam. Pihak berkuasa tidak boleh berlembut lagi.

Stesen penyiaran perlu haramkan mereka muncul di TV dan radio.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia wajar menurunkan video mereka di semua saluran media sosial dan digital demi kepentingan awam.


IMLAN ADABI ialah wartawan marhaen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.