Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak tolak usaha KPKT wujudkan pasukan ‘duta online’ - Fahmi

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

Pasukan "duta online" yang baru ditubuhkan oleh kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) tidak akan bertindih dengan jabatan-jabatan yang lain, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Fahmi berkata dia  melihat pasukan 200 anggota itu mungkin akan memberi tumpuan khusus kepada isu berkaitan KPKT.

Sambil mengakui masih belum menerima sebarang taklimat berhubung perkara itu, Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata dia akan berunding dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana kerajaan mahu memperkemas maklumat yang diberikan kepada orang ramai.

“Memang waktu ni ada pelbagai saluran yang dah disediakan melalui Jabatan Penerangan (di bawah Kementerian Komunikasi), Komuniti Madani di bawah Jabatan Penerangan dan Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM).

“Saya tak tolak usaha itu. Pada masa sama, semestinya kita inginkan penyelarasan dari segi maklumat yang disampaikan. 

“Insya-Allah saya akan telitikan perkara ni dengan menteri KPKT,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Korban Perdana dekat Perpustakaan 1 Wilayah @ Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan jika fungsi pasukan "duta online" itu akan bertindih dengan J-KOM dan Komuniti Madani.

Ini selepas Nga mengumumkan bahawa kementeriannya telah melantik "duta online" untuk memerangi berita palsu dan menyampaikan maklumat yang sahih.

Nga berkata adalah diharapkan bahawa penubuhan pasukan "duta online" akan dapat menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.

Naib pengerusi DAP itu berkata pasukan itu akan menyebarkan maklumat yang sahih dan melindungi rakyat daripada fitnah menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami mereka.

Namun, Nga mendapat kecaman, dengan pelbagai pihak mempersoalkan keperluan pelantikan "duta online" itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dilaporkan sebagai berkata penubuhan pasukan itu akan membawa kepada pertindihan kuasa dan usaha media sosial yang tidak teratur oleh kerajaan.

Puad, yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini tidak berfungsi, dipetik sebagai berkata bahawa adalah lebih berkesan untuk mengukuhkan jentera komunikasi kerajaan sedia ada.

Sementara itu, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pelantikan duta itu adalah "membazir dan tidak beretika".

Zuraida dipetik sebagai menasihati Nga supaya menumpukan perhatian kepada pengendalian isu dan inisiatif berkaitan kementeriannya dan bukannya "menggunakan penjawat awam" sebagai cybertrooper atau laskar siber.

Zuraida, yang juga timbalan presiden Muafakat Nasional, mendakwa ia cubaan untuk menjadikan jentera kerajaan sebagai alat politik.