Skip to main
Logo Malaysiakini

Gaji rendah, kemiskinan bukan punca rasuah - Azam

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kemiskinan dan gaji rendah bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada rasuah.

Sebaliknya dia berkata siasatan SPRM kebanyakannya melibatkan agensi penguatkuasaan dan ahli politik.

"Ia kerana tamak dan peluang. Ahli politik, sebagai contoh, adakah mereka miskin?

"Bagaimana dengan menteri, ketua setiausaha kementerian, dan timbalan ketua setiausaha?

"Jika saya bercakap mengenai (rasuah dalam) sektor swasta, saya boleh katakan... pegawai bank... adakah mereka miskin,” soalnya seperti dipetik wawancara NST.

Azam menegaskan bahawa rasuah berlaku kerana ketamakan, peluang, dan isu tadbir urus.

Dia mengesyorkan agar kerajaan terus memperhalusi prosesnya dan mengamalkan amalan terbaik.

"Jika orang berpendapat ia (rasuah) berlaku kerana gaji yang rendah, saranan saya kepada kerajaan supaya berhati-hati tentang perkara itu.

"Jangan terus naik gaji dengan fikiran bahawa itu akan mengurangkan rasuah.

“Rasuah adalah mengenai ketamakan, peluang, sistem, prosedur dan isu tadbir urus," katanya.

Kaedah penyamaran

Ketua agensi antirasuah itu juga mengimbau lawatannya ke Jabatan Polis New York pada 2011, mengatakan agensi berkenaan menggunakan kaedah penyamaran untuk menyiasat pegawai rasuah.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Polis Diraja Malaysia boleh menggunakan kaedah yang sama, katanya.

Azam juga mencadangkan supaya Ketua Pengarah Jabatan Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin menggunakan kepakaran SPRM dalam membanteras rasuah.

"Kami mempunyai banyak projek penyamaran yang boleh kami kongsi dengan mereka dan menunjukkan bagaimana dia boleh menggunakan mekanisme dan pendekatan ini dalam mengesan pegawai penguatkuasa undang-undang yang rasuah.

"Terdapat banyak cara, tetapi saya mesti mengatakan bahawa ramai ketua jabatan tidak begitu proaktif, dan sangat konvensional dalam pendekatan mereka," katanya mengulas isu rasuah kes “kontena terbang.”

Pada 13 Jun, SPRM menahan 17 individu, termasuk 11 pegawai kastam dalam Ops Transit.

Kesemua mereka yang ditahan disyaki bersubahat dengan sindiket penyeludupan import di Pelabuhan Klang mengakibatkan kerugian cukai dianggarkan kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.

Sumber SPRM berkata siasatan setakat ini berjaya merampas wang tunai RM4.4 juta dipercayai hasil suapan rasuah pegawai kastam yang terbabit.