Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | M’sia negara antara bangsa: Terima kasih warga asing

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

KOMENTAR | Terima kasih kepada warganegara Indonesia, Bangladesh, benua kecil India dan merata dunia.

Dengan kehadiran mereka, solat sunat Aidiladha di masjid kariah saya pagi tadi melimpah ruah.

Ramai daripada kami solat di perkarangan masjid dan tempat letak kereta.

Tanpa mereka, rasanya ruang utama pun sukar diisi. Pada hari raya, orang Melayu dan orang tempatan jadi kelompok minoriti.

Balik kampung semakin menjadi-jadi. Tidak peduli lebuh raya yang sesak padat dan harga diesel yang meningkat.

Terima kasih kepada mereka kerana memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara (lingua franca) untuk berkomunikasi dengan orang Malaysia dan sesama mereka.

Melayu jadi Arab

Terima kasih warganegara Indonesia, khususnya wak-wak Jawa kerana meramaikan jemaah bersongkok.

Banyak orang Melayu tidak berbusana Melayu lagi. Mereka sudah jadi Arab.

Alhamdulillah, masjid-masjid di Malaysia telah menjadi begitu antarabangsa dengan kehadiran mereka seperti yang disebut dalam Surah Al-Hujurat ayat ke 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."

Salam Aidiladha. Terima kasih.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk Malaysia Negara Antarabangsa.  Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.