Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemilik ladang mampu cegah konflik manusia-gajah, kata pakar

Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Baru-baru ini negara dikejutkan selepas empat ekor gajah ditemui mati di Kahang Timur, Johor. Seorang exco kerajaan negeri Johor dan kumpulan alam sekitar mengesyaki kematian itu berpunca daripada keracunan.

Kawasan berkenaan terkenal sebagai kawasan panas, dengan gajah liar kerap dibunuh oleh pengguna yang melalui di kawasan tersebut.

Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (Meme) - sebuah kumpulan penyelidikan berpaksikan gajah yang berpangkalan di Universiti Nottingham Malaysia berkata kes itu menunjukkan bagaimana pemilik tanah perladangan berperanan utama dalam usaha mengurangkan konflik manusia-gajah.

Wong Ee Phin

Dalam satu program awal bulan ini, penyiasat utama Meme Wong Ee Phin menjelaskan bahawa dengan keluasan hutan yang semakin mengecil, pencinta alam sekitar mesti bekerjasama dengan pihak berkepentingan perladangan kerana lebih banyak kerja pemuliharaan perlu dilakukan.

"Kami menyedari bahawa hutan kami semakin mengecil. Jadi, selain hutan, ke mana lagi hidupan liar boleh merayau?

"Mereka tidak ke kawasan bandar, jadi mereka lazimnya merayau kawasan pertanian dan menimbulkan konflik dengan pemilik."

Profesor madya di Universiti Nottingham Malaysia itu menegaskan bahawa konflik manusia-gajah telah menyebabkan kerugian RM4.4 juta di Johor sejak empat tahun lalu.

Terdapat juga lima kematian dan dua kecederaan sepanjang tempoh tersebut.

Wong berkata sesetengah pemilik ladang berpendapat bahawa "hidupan liar tidak sepatutnya berada di ladang", tetapi penyelidikan mendapati hidupan liar, termasuk gajah, cenderung berpindah dari hutan ke ladang untuk mencari makanan.

"Kita dapati hidupan liar itu perlu bergerak, kerana satu kawasan makanan mereka ada di sini, satu lagi kawasan di sana.

"Jadi, akan ada laluan tertentu yang membabitkan kawasan pertanian," katanya.

Wong berkata gajah dan manusia bersaing untuk ruang yang sama menjadikan "keadaan di darat sangat mencabar".

Bagi Meme, tumpuan mereka adalah kepada kewujudan bersama antara manusia dan gajah, bukan semata-mata pada pemuliharaan gajah atau kepentingan manusia.

Untuk mengurangkan konflik, Meme memantau pergerakan gajah dengan kolar GPS dan merekabentuk laluan selamat untuk gajah bergerak dan mengelakkan binatang itu daripada “kawasan bahaya”.

[Baca berita penuh]