Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengusaha trak tunda minta kerajaan 'sedekah' subsidi diesel

Artikel ini sudah 20 hari diterbitkan

Lebih 1,000 pengusaha trak tunda meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada mereka yang kini tidak termasuk dalam 23 jenis kategori kenderaan yang layak di bawah Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) 2.0.

Pengerusi Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1Malaysia (1MTTCC) Md Yusof Yahya berkata penafian subsidi diesel kepada trak tunda sesuatu amat membebankan dan akan menjejaskan perniagaan.

"Kami adalah dari kalangan pengusaha trak tunda yang mana perkhidmatan kami melibatkan kenderaan motolori yang sepenuhnya menggunakan diesel.

"Justeru, kami amat berharap cadangan kami diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam memastikan setiap pihak dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya pada sidang media di KLGCC, Kuala Lumpur, hari ini yang turut dihadiri Presiden Gerakan Dominic Lau dan bekas timbalan menteri Edmund Santhara.

Kata Md Yusof lagi, dia telah menghantar e-mel kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berhubung perkara ini.

Sementara itu Santhara berkata pengusaha trak tunda sering tercicir dan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

"Saya berharap agar perdana menteri untuk meneliti semula perkara ini dan kerajaan perlu bersikap adil kepada mereka.

"Saya juga difahamkan, kalau Anwar nak beri sedekah ini, berikanlah pada persatuan dan pengusaha trak tunda," katanya sambil merujuk kepada kenyataan Anwar sebelum ini bahawa pemberian subsidi adalah umpama sedekah daripada kerajaan.

Terdahulu, Dominic yang juga ahli Dewan Negara berjanji akan membawa isu subsidi diesel trak tunda ke Dewan Negara.

"Saya akan membincang isu ini di Dewan Negara dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Md Yusof berkata terdapat salah saham berhubung laporan trak tunda menaikkan harga perkhidmatan.

"Sebenarnya, kami tidak menaikkan harga. Kami cuma memperkenalkan semula harga perkhidmatan yang dibincang pada tahun 2018.

Presiden Gerakan Dominic Lau.

"Ketika itu, pengusaha trak tunda bersetuju mengenakan RM150 sebagai harga perkhidmatan bagi 10 kilo meter pertama. Tapi, ramai pengusaha tidak mengguna pakai harga ini dan masih meletakkan harga yang rendah.

"Namun, selepas kerajaan memperkenalkan diesel bersubsidi, ada pengusaha cuba meletakkan harga RM150 yang dipersetujui sebelum ini dan ini yang menjadi isu," katanya.

Terdahulu, sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram dilaporkan diberikan notis kerana menaikkan harga perkhidmatan dengan alasan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata notis diberikan kepada syarikat berkenaan kelmarin untuk meminta mereka memberi jawapan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari.