Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan hak kewarganegaraan mestilah retroaktif - NGO

Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Sekumpulan ibu warga Malaysia yang memperjuangkan hak kewarganegaraan untuk anak-anak mereka menggesa kerajaan memastikan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan diguna pakai secara retroaktif.

Menurut pengasas bersama Family Frontiers Suri Kempe, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan itu dijangka berlangsung pada sidang Dewan Rakyat pada hujung bulan ini.

“Malangnya, sekiranya RUU ini dilulus, pindaan ini tak akan dilaksanakan secara retroaktif.

“Ini bermaksud anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia sebelum undang-undang ini dikuatkuasa tidak akan dapat manfaat daripada pindaan ini dan mereka akan kekal sebagai bukan warganegara.

“Pindaan ini hanya akan terpakai kepada anak-anak yang dilahirkan selepas pindaan ini berkuatkuasa,” katanya pada sidang media bersama-sama wakil Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) di Kuala Lumpur hari ini.

Sebahagian daripada pindaan perlembagaan yang dicadangkan termasuk peruntukan di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan menerusi kuasa-kuasa undang-undang.

Suri berkata Family Frontiers melalui rangkaian kumpulan itu telah merekodkan 40 permohonan kerakyatan yang ditolak mengikut Seksyen 15(2) Perlembagaan Persekutuan, 34 daripadanya dikemukakan oleh ibu yang kini menetap di luar negara dan berkahwin dengan pasangan asing.

Dia berkata ibu-ibu itu juga tidak dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara tentang sebab penolakan itu, bertentangan dengan janji yang dilaporkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Mac tahun ini.

"Kami tidak pasti sama ada tinggal di luar negara menjadi sebab penolakan kerana bermastautin (di Malaysia) bukan pra-syarat untuk permohonan mereka," kata Suri, sambil menambah bahawa penolakan terbaru yang direkodkan oleh Family Frontiers bertarikh bulan lepas.

Pada Mac lalu, Saifuddin berkata sebanyak 80 peratus kelulusan daripada 3,903 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan melibatkan individu di bawah 21 tahun.

Dia berkata selebihnya ditolak kerana "tidak lengkap dan tidak lulus proses tapisan keselamatan".

Naib presiden Family Frontiers Chee Yoke Ling berkata aspek retroaktif pindaan itu masih tertakluk kepada keputusan cabaran undang-undang yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan.

Pada 2022, Family Frontiers dan enam ibu Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada mereka - bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak menerima kerakyatan Malaysia.

“Keputusan Mahkamah Tinggi mengatakan bahawa wanita berhak, adalah hak kami untuk mewariskan kewarganegaraan.

"Dengan jenis keputusan itu, tiada had masa, dan ia terpakai kepada semua kanak-kanak (dengan permohonan kewarganegaraan yang belum selesai)," kata Chee.

Selanjutnya, Suri berkata terdapat perbincangan berterusan dengan pakar dan penggubal undang-undang untuk mendesak agar cadangan mereka dimasukkan ke dalam perbahasan akan datang mengenai rang undang-undang pindaan kewarganegaraan, termasuk kemungkinan penelitian tambahan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

“Kami percaya pada proses parlimen. Kami yakin dengannya,” tambahnya.

Pada sidang media itu, beberapa ibu yang permohonan kewarganegaraan untuk anak mereka telah ditolak berkongsi masalah sama kerana tidak dimaklumkan tentang alasan penolakan itu.

Mereka berkata penolakan itu berlaku walaupun permohonan mereka dibuat atas nasihat perwakilan Malaysia di negara tempat mereka tinggal, termasuk mengenai prosedur yang diperlukan.

Pada Ahad, Saifuddin berkata keutamaan untuk menyelesaikan permohonan kewarganegaraan diberikan kepada kes membabitkan anak luar nikah dan anak angkat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana permohonan membabitkan dua kategori itu adalah yang tertinggi, diikuti anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

[Baca berita asal]