Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pengarah SRC: Najib dirujuk sebagai 'bos', 'pihak atas'

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Seorang bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberi keterangan bahawa Najib Abdul Razak dirujuk sebagai 'bos' dan 'pihak atas' apabila bekas perdana menteri itu menjadi penasihat emeritus syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Suboh Md Yassin berkata demikian dalam keterangan lisannya semasa perbicaraan penuh mahkamah hari ini berhubung saman SRC International - bekas anak syarikat 1MDB - berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib.

Semasa prosiding tindakan sivil hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Suboh menyifatkan Najib yang juga bekas menteri kewangan mempunyai kehadiran dan kawalan yang luar biasa ke atas syarikat itu melalui ketua pegawai eksekutifnya (CEO) ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil, yang didakwa merupakan proksi Najib.

Dia memberi keterangan bahawa Nik Faisal, yang kini sedang diburu pihak berkuasa Malaysia untuk membantu siasatan jenayah berkaitan, mengarahkan hal ehwal SRC bagi pihak Najib.

Suboh berkata Nik Faisal tidak mempedulikan kebimbangannya atau lembaga SRC, dan CEO ketika itu hanya akan mendekatinya (Suboh) untuk menandatangani dokumen syarikat.

“Pada mulanya saya akan mempersoalkan tujuan dokumen yang dia (Nik Faisal) mahu saya tandatangani.

"Pertanyaan saya selalunya diketepikan dengan kenyataan yang mencadangkan bahawa transaksi itu mesti dilakukan atas arahan DSN (Najib) - contohnya 'boss nak lah' (boss - merujuk kepada DSN) atau 'diminta pihak atas' (pihak atas) – merujuk kepada DSN).

"Ada masa di mana dia (Nik Faisal) tidak akan melihat saya. Dia akan mengarahkan runner untuk membawa dokumen untuk saya tandatangani, dan dokumen ini kemudiannya akan dibawa balik oleh runner. Selalunya, dokumen yang akan ditandatangani oleh saya sudah pun ditandatangani oleh Nik Faisal.

"Saya hanya dikehendaki untuk tandatangan balas. Proses 'cop getah' ini berlangsung sepanjang saya berkhidmat di SRC," kata Suboh, yang dilantik Najib sebagai pengarah SRC pada 1 Ogos 2011. Suboh tidak lagi menjadi pengarah pada 4 Mac 2019.

Bekas CEO SRC Nik Faisal

Suboh memberi keterangan bahawa disebabkan ketetapan SRC yang pelik ini, Najib secara langsung atau melalui Nik Faisal mengawal semua aspek perjalanan syarikat, mengurangkan peranan dan kuasanya sebagai pengarah.

Bekas pengarah itu berkata walaupun SRC adalah sebuah syarikat sendirian berhad, cara ia dijalankan adalah seperti lanjutan daripada aktiviti kerajaan kementerian kewangan.

"Penjalanan SRC dirasakan sama seperti jabatan kerajaan lain di bawah arahan DSN, perdana menteri dan menteri kewangan pada masa itu. DSN mempunyai kawalan penuh dan mutlak ke atas semua aspek perjalanan SRC, kecuali lembaga pengarah.

"Saya merasakan bahawa peranan saya dalam SRC tidak berbeza dengan menjadi penjawat awam di jabatan kerajaan. Sebagai penjawat awam, kami sudah terbiasa dan diharapkan dengan tegas mengikut semua arahan dari atasan, dalam hal ini daripada perdana menteri Malaysia (Najib).

"Sekiranya pihak atasan memerlukan kami untuk melakukan sesuatu, kami tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk membantah atau menolak sebarang keputusan yang diarahkan untuk kami laksanakan dan mengambil semua langkah yang perlu untuk melaksanakan arahan itu.

"Ini lebih-lebih lagi kerana saya tahu DSN mempunyai kuasa mutlak untuk 'melantik dan memecat' mana-mana pengarah dalam SRC mengikut memorandum dan artikel persatuan SRC," kata Suboh kepada hakim mahkamah sivil Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Suboh tidak menolak kemungkinan Nik Faisal meletakkan 'ketakutan' dalam lembaga pengarah (berkaitan dengan Najib melantik dan memecat pengarah) tanpa arahan bekas perdana menteri itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak

Bekas pengarah itu menjawab Nik Faisal adalah 'titik hubungan' antara lembaga pengarah SRC dan Najib kerana CEO ketika itu adalah orang yang berinteraksi dengan perdana menteri ketika itu, justeru tiada pengarah ketika itu "tahu apa-apa".

Suboh menambah, Najib melantiknya sebagai ahli lembaga SRC ketika itu kerana bekas perdana menteri itu "tahu kualiti kerja saya".

Dalam saman sivil sekarang, Suboh memberi keterangan bagi pihak plaintif SRC terhadap defendan Najib.

Suboh juga memberikan keterangan lisan atas kapasiti pihak ketiga yang dibawa ke dalam tuntutan mahkamah oleh Najib untuk membayar balik sepenuhnya atau sebahagian kepada bekas perdana menteri itu sekiranya SRC memenangi tindakan mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Fairuz disambung esok.

Suboh juga merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah berasingan terhadap Najib yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC, yang membawa kepada sabitan bekas perdana menteri dan kini menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM50 juta.

Di bawah pengurusan barunya, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib, sebagai penasihat emeritus plaintif, telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa, dan secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat, serta menyeleweng berbilion ringgit.

SRC juga memohon perisytiharan mahkamah bahawa defendan bertanggungjawab ke atas kerugiannya akibat pecah tugas dan amanah, dan meminta bekas perdana menteri membayar balik RM42 juta.

Plaintif juga sedang memohon perintah mahkamah supaya Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 bilion, serta membayar balik AS$120 juta dana yang didakwa mengalir ke dalam akaun bank bekas menteri kewangan itu.

Tindakan sivil terhadap Najib dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan sebahagian daripada RM4 bilion - RM3.6 bilion atau AS$1.18 bilion dalam kadar pertukaran asing antara 2011 dan 2012 - dalam pinjaman yang diterima syarikat daripada Kumpulan Wang Persaraan (Kwap) antara 2011 dan 2012.

Kwap ialah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

[Baca berita asal]