Skip to main
Logo Malaysiakini

Bantu individu tiada dokumen, bukan tangkap mereka: Aktivis

Artikel ini sudah 19 hari diterbitkan

Sekumpulan aktivis dari Sabah mengadakan acara nyalaan lilin sebagai sebagai tanda setiakawan terhadap sembilan individu tanpa kerakyatan yang ditahan kerana melakukan protes di luar Pejabat Ketua Menteri Sabah minggu lalu.

Penyelaras Bersih Sabah, Asraf Sharafi, yang hadir pada acara itu, menggesa kerajaan membantu tahanan yang terdiri daripada seorang guru, Syahfeeq Rondin serta lapan pelajar Sekolah Alternatif dan bukannya menangkap mereka.

Sekolah Alternatif ialah sekolah untuk kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan.

"Kami kecewa kerana mereka yang ditangkap sedang menjalankan jelajah pendidikan untuk membina universiti alternatif.

"Semua mengharapkan mereka dibebaskan dengan segera agar dapat meneruskan proses dan jelajah pendidikan mereka,” kata Asraf kepada Malaysiakini hari ini.

Acara nyaaan lilin yang diadakan di hadapan Todak Waterfront Kota Kinabalu itu dihadiri kira-kira 30 peserta. Turut hadir ialah pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza.

Pada Jumaat lalu (14 Jun), Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda ketika mengesahkan penahanan itu, berkata "sembilan individu tanpa dokumen pengenalan diri ditahan susulan perhimpunan #KamiMahuAirSabah.

Kasim berkata peserta dan penganjur perhimpunan itu akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengasas NGO Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah, Mukmin Nantang turut mengesahkan pelajar yang ditahan berketurunan Bajau Laut.

Dalam pada itu Asraf membidas kerajaan kerana menggunakan naratif "pendatang tanpa izin" hanya kerana sembilan individu terbabit terlibat dalam perhimpunan itu.

"Perlu berhenti guna naratif PATI terutama dalam isu tangkapan baru-baru ini hanya sebab mereka ini berada dalam demonstrasi air, untuk memberi persepsi negatif terhadap himpunan tersebut

"Ini perlu iltizam politik, political will (kesungguhan politik) yang besar dan jujur daripada pemerintah," tegasnya.

Tambahnya, mereka yang hadir dalam acara nyalaan itu turut menggesa kerajaan menyelesaikan segera isu berkaitan individu tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Ada ribuan lagi kanak-kanak tanpa dokumen yang dinafikan hak untuk mendapat pendidikan, dan seolah-olah diburu setiap hari oleh penguasa," ujarnya.

Sementara itu, Mukmin hari ini mempersoalkan sikap berdiam diri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam isu berkenaan.

Mukmin mengingatkan Anwar bahawa perdana menteri itu ‘laju bersuara’ ketika dia ditahan tiga tahun lalu kerana membantah lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKP) di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah.

“Sekarang ini, lapan pelajar saya ditangkap – tiga daripadanya adalah bawah umur.

“Bolehkah saya meminta saudara (Anwar) respons dan bebaskan pelajar-pelajar saya? Mereka cuma mahu belajar. Terima kasih,” katanya dalam satu catatan di X.

Baru-baru ini, Mukmin mendakwa operasi pengusiran dijalankan terhadap masyarakat Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna - Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat, dan Pulau Sibuan.

Pada Jumaat (14 Jun), aktivis menggesa kerajaan menghentikan penindasan terhadap masyarakat Bajau Laut dengan memberi amaran mereka akan turun ke jalan raya jika keadaan itu berterusan.