Skip to main
Logo Malaysiakini

Ancaman Daesh masih wujud dalam negara, kata pakar keselamatan

Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Pakar keselamatan dan sumber penguat kuasa memberi amaran bahawa serangan ke atas balai polis Ulu Tiram di Johor bulan lalu sepatutnya menjadi peringatan terhadap ancaman kumpulan pengganas Daesh.

Walaupun organisasi pengganas itu tidak lagi mempunyai cengkaman wilayah yang ketara, ideologi Daesh terus disebarkan oleh mereka yang masih percaya dengan perjuangannya.

Ini, menurut mereka, menimbulkan ancaman keselamatan berterusan kepada negara meski situasi di permukaan menunjukkan sebaliknya.

Penganalisis keselamatan Ahmad El-Muhammady berkata meski Malaysia sudah sekian lama 'senyap' dari kejadian keganasan tidak bermakna ancaman seperti itu tidak wujud.

“Sebenarnya, keadaan 'senyap' ini lebih berbahaya apabila melibatkan keganasan. Kerana anda tidak tahu apa yang sedang dirancang, dan pengganas suka mengambil kesempatan pada keadaan aman.

“(Kejadian) Ulu Tiram membuktikan perkara ini dan kita tidak boleh terleka, kita perlu berjaga-jaga,” katanya.

Ahmad Azza Fahmi Azhar (kiri) dan Muhamad Syafiq Ahmad Said

Pada 17 Mei, dua anggota polis terbunuh apabila mereka diserang seorang penyerang di balai polis Ulu Tiram.

Penyerang itu mula-mula menggunakan parang untuk menyerang dan membunuh salah seorang pegawai, kemudian mencuri senjata apinya, sebelum berbalas tembak dengan polis lain. Ia berakhir dengan penyerang ditembak mati, manakala pegawai polis ketiga cedera parah.

Polis pada mulanya mengesyaki penyerang itu dipengaruhi oleh Jemaah Islamiyah, selepas mengambil kira bapanya merupakan bekas ahli kumpulan itu. Polis kemudian mengesahkan bahawa dia didakwa didoktrinkan oleh ideologi Daesh.

Kali terakhir Daesh berjaya melakukan serangan di Malaysia adalah pada 2016 apabila disyaki anggota kumpulan itu melancarkan bom tangan di Movida Bar di Puchong.

Malaysiakini mengetahui kebimbangan yang semakin meningkat di kalangan pakar keselamatan dan agensi perisikan mengenai kemunculan generasi muda penyokong Daesh, yang mereka katakan sedang diradikalkan oleh perekrut yang bergerak senyap-senyap.

Seorang pegawai agensi keselamatan, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk mengukur jumlah penyokong dan simpatisan Daesh di negara ini.

Tiga peringkat

Ini disebabkan oleh ideologi kumpulan itu disebarkan melalui media sosial dan sembang kumpulan kecil dan bukannya melalui pertemuan fizikal.

Bagaimanapun, Ahmad menegaskan bahaya yang lebih besar yang ditimbulkan Daesh ialah wacana yang diperkenalkannya.

“Jika dilihat sekarang, naratif Daesh masih terdapat dalam pelbagai bentuk, dan masih ada individu yang menyebarkannya.

“Ia bukan tentang saiz (penyokong), tetapi kewujudan wacana seperti itu. Seperti kes Ulu Tiram, hanya perlu satu orang (penyerang),” katanya.

Sumber memberitahu Malaysiakini penyebaran ideologi Daesh adalah satu kebimbangan kerana kemungkinan individu radikal hanya akan dapat dikesan pihak berkuasa setelah terlambat.

Lima ahli keluarga penyerang balai polis Ulu Tiram didakwa menyebarkan ideologi Daesh

Kata sumber, seseorang yang bersimpati atau yang percaya kepada doktrin kumpulan itu mungkin kekal tidak aktif dan menyembunyikan kesetiaannya sehingga hari dia memutuskan untuk melaksanakan kepercayaannya.

“Pengikut Daesh percaya terdapat tiga peringkat untuk perjuangan mereka. Yang pertama adalah melalui disiplin diri sebelum meneruskan dakwah ideologi mereka kepada orang lain.

“Dan tahap tertinggi bagi mereka adalah tindakan, iaitu dengan melancarkan serangan terhadap mereka yang mereka percaya musuh Islam.

“Tujuan utama mereka adalah untuk mati memerangi taghut (berhala). Mereka akan membuat langkah mereka apabila mereka rasa mereka sudah bersedia untuk tahap tertinggi,” kata sumber yang mempunyai kedudukan tinggi, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pengaruh di kalangan remaja

Sumber mendakwa penyokong Daesh bukan sahaja dikesan dalam kalangan orang dewasa malah turut mendapat simpati daripada kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Doktrin itu dikatakan memikat terutamanya kepada mereka yang sudah menyimpan perasaan buruk terhadap kerajaan, dan mereka yang terpengaruh dengan kepercayaan bahawa Islam sedang dicemari di negara ini.

Awal hari ini, lima ahli keluarga penyerang Ulu Tiram termasuk bapanya didakwa di mahkamah atas dakwaan menyebarkan ideologi Daesh.

Selain keluarga, polis baru-baru ini menangkap dua lagi penyokong Daesh yang disyaki yang telah didakwa oleh pihak berkuasa di mahkamah minggu lalu.

Suspek termasuk seorang pengusaha kilang di Taiping, Perak yang didakwa memiliki bahan letupan, didakwa bersedia untuk serangan.

[Baca laporan asal]