Skip to main
Logo Malaysiakini

Merosot dalam indeks IMD: Tunggu penjelasan Zafrul, kata Fahmi

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menyerahkan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menjelaskan kejatuhan negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) pada tahun ini.

Kata Fahmi, sebelum ini Tengku Zafrul sendiri ada memaklumkan bahawa dia sendiri akan menjelaskan perkara berkenaan.

"Berikan sedikit masa kepada pasukan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) untuk mengkaji apa yang dimaksudkan, dan apa yang berlaku.

"Pada realitinya, tahun ini kita telah saksikan jumlah pelaburan yang sangat tinggi terutama dari sektor semikonduktor, data centre (pusat data) dan juga bidang AI (kecerdasan buatan).

"Saya serahkan kepada pihak MITI utk penjelasan yang lebih sempurna,"

"Saya serahkan kepada kementerian untuk penjelasan yang lebih sempurna," kata Fahmi kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi yang juga menteri komunikasi sebelum itu menghadiri majlis pelancaran MCMC Microsoft AI Teach dan pertukaran memorandum persefahaman di antara MCMC dan Microsoft Malaysia.

Terdahulu Fahmi ditanya mengenai kedudukan Malaysia - yang jatuh ke tempat ke-34 tahun ini berbanding di tangga ke-27 pada tahun lalu - dalam ranking IMD.

Ia merupakan laporan tahunan komprehensif dan pusat rujukan mengenai daya saing negara di seluruh dunia.

Ia juga mencatatkan sejarah apabila buat pertama kalinya, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah berbanding Indonesia dan Thailand dalam indeks berkenaan.

Semalam, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mendakwa prestasi buruk Malaysia adalah satu tamparan hebat buat kerajaan.

Muhyiddin juga menggesa agar Anwar berhenti mengelirukan orang ramai dengan data yang ada.

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata dia akan memberikan penjelasan terperinci berhubung perkara itu petang ini.

Menurut Bernama, MITI telah menerima laporan itu dan sedang menyemaknya untuk memahami pelbagai isu berkaitan perdagangan global.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi menegaskan bahawa tidak memadai untuk hanya bercakap mengenai banyak pelaburan berskala besar yang masuk ke negara ini.

Oleh itu, dia menyeru orang ramai untuk mengambil bahagian dan memainkan peranan menterjemah semua berita baik dan pengumuman besar yang ada bagi bagi memastikan manfaat pelaburan itu sampai kepada rakyat.

"Insya-Allah akan ada banyak lagi berita baik akan datang kepada kita tak lama lagi," katanya.

[Baca berita penuh]