Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin akan beri keterangan berhubung permohonan prosiding hina mahkamah

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar keterangan daripada Azmin Ali berhubung permohonan sebuah syarikat pengimport telur untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Ini susulan prosiding di hadapan pesuruhjaya kehakiman, Leong Wai Hong hari ini untuk pendengaran ex-parte (hanya satu pihak dalam pertikaian hadir) berhubung permohonan J&E Advance Tech Sdn Bhd untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan tindakan komital itu.

Plaintif ingin mendakwa Azmin kerana menghina mahkamah berkaitan penyerahan keterangan saksi dalam saman fitnah syarikat itu terhadapnya.

Jika disabitkan kesalahan, Azmin boleh dikenakan denda dan hukuman penjara.

Keterangan Azmin yang juga Adun Hulu Kelang itu adalah bagi perbicaraan di mahkamah bulan lepas mengenai saman fitnah syarikat itu terhadapnya berhubung isu import telur dari India.

Peguam syarikat itu, Bhavanash Sharma mengesahkan keputusan prosiding dalam talian hari ini.

"Pesuruhjaya kehakiman, dalam menjalankan budi bicaranya, telah menukar permohonan kebenaran ini kepada pendengaran antara pihak (kedua-dua pihak hadir). E-review seterusnya adalah pada 27 Jun.

"Kami perlu menyerahkan kertas kebenaran kepada pihak satu lagi (pasukan guaman Azmin) dalam masa seminggu," kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Mahkamah dengar hujah kedua-dua pihak

Berikutan keputusan hari ini, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar hujahan lisan daripada pasukan peguam plaintif dan defendan sama ada kebenaran patut diberikan untuk syarikat itu meneruskan permohonan komital.

Plaintif memerlukan kebenaran mahkamah sivil sebelum dibenarkan untuk memulakan permohonan menghina mahkamah itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan, pengurus besar J&E Advance Tech Rajesh Jaikishan mendakwa Azmin menyalahguna proses mahkamah dan mengganggu pentadbiran keadilan.

Rajesh mendakwa perkara ini berlaku apabila Azmin memfailkan keterangan saksi pada 16 Mei tahun ini (sehari sebelum perbicaraan penuh di mahkamah pada 17 Mei di hadapan pesuruhjaya kehakiman Leong Wai Hong), sedangkan defendan telah memfailkan kenyataan saksi sebelum ini pada Nov 15 tahun lepas.

Perbicaraan berlangsung selama dua hari iaitu pada 13 Mei dan 17 Mei.

J&E Advance Tech mendakwa ini bermakna defendan telah mengambil pendirian baru dalam memberikan keterangan utamanya yang didakwa bercanggah dengan kenyataan saksi terdahulu.

Rajesh mendakwa mahkamah pada 16 Nov tahun lepas mengarahkan plaintif dan defendan memfailkan dokumen praperbicaraan dan kenyataan saksi mereka selewat-lewatnya 30 Dis tahun lepas.

Plaintif mendakwa pada hari kedua perbicaraan mahkamah pada 17 Mei tahun ini, Azmin telah menyampaikan sesalinan Ikatan Dokumen Tambahan yang mengandungi keterangan saksi baru, selepas plaintif menutup kes.

J&E Advance Tech mendakwa Azmin gagal atau cuai untuk memberikan penjelasan mengenai kelewatan pemfailan pada hari kedua perbicaraan.

Plaintif memohon mahkamah mengambil kira kenyataan saksi Azmin sebelum ini bagi membolehkannya melakukan penilaian menyeluruh terhadap kredibiliti defendan sebagai saksi.

Awal tahun lepas, J&E Advance Tech memfailkan saman fitnah berhubung ucapan Azmin dalam satu ceramah pada 11 Mac tahun yang sama.

Dalam pernyataan pembelaannya, Azmin menafikan cuba memfitnah syarikat pengimport telur itu, dengan menyatakan bahawa dia hanya mempersoalkan janji kerajaan Anwar Ibrahim untuk mengadakan tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.

Defendan menyatakan bahawa ucapannya tidak pernah menyebut nama syarikat dan merujuk terus kepada kerajaan dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Dakwaan rundingan terus

Dalam jawapan balas syarikat itu yang difailkan pada 11 Ogos tahun lepas, plaintif berkata kenyataan Azmin adalah fitnah pada awal ucapannya dan pada bahagian berikutnya apabila mendakwa pihak tertentu terlibat dalam penyelewengan berkenaan, yang dalam fikiran munasabah mana-mana pendengar secara tidak langsung merujuk kepada syarikat itu.

J&E Advance Tech berkata walaupun ucapan Azmin tidak menamakannya, syarikat itu menegaskan adalah menjadi pengetahuan umum bahawa plaintif ialah pengimport tunggal telur dari India, berikutan namanya disebut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu di Parlimen pada 8 Mac tahun lalu.

Mohamad ketika berucap di Dewan Rakyat pada masa itu berkata J&E Advance Tech diberi permit untuk mengimport telur dari India untuk jangka masa pendek, bagi menangani kekurangan produk itu di Malaysia pada masa itu. .

Menteri itu berkata kontrak diberikan kepada syarikat itu bukan melalui tender terbuka kerana isu kekurangan telur yang berlarutan memerlukan tindakan segera oleh kerajaan.

Melalui saman sivil berkenaan, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, ganti rugi teruk dan teladan yang tidak dinyatakan.

Syarikat itu memohon injunksi untuk menghalang Azmin daripada terus memfitnahnya, serta faedah lima peratus ke atas sebarang jumlah penghakiman yang diberikan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Julai untuk penghujahan lisan saman itu. Tarikh keputusan berhubung saman sivil itu masih belum ditetapkan.