Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ yakin Umno bantah isu Blackrock jika dibawa ke jemaah menteri

Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin berkata bahawa dia yakin menteri-menteri Umno tidak akan setuju dengan pengambilalihan Malaysian Airlines Holdings Berhad (MAHB) oleh syarikat Blackrock yang didakwa menyokong genosid Palestin, sekiranya isu itu dibawa ke jemaah menteri.

"Saya nak bersangka baik rakan dari Umno. Saya yakin jika perkara ini dibawa ke jemaah menteri saya yakin menteri Umno akan bantah.

“Kalau dibawa ke jemaah menteri dan ditanya ke jemaah menteri, boleh ke tidak benarkan Khazanah jual kepada BlackRock, menteri Umno yang saya kenal takkan setuju," katanya selepas menghadiri forum ‘Tolak Blackrock’ anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dia ditanya kenapa tiada tindakan daripada anggota kabinet berhubung isu pengambil alihan MAHB oleh Blackrock, syarikat Amerika Syarikat (AS) yang menyokong rejim Israel.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas menteri kabinet berkata kebanyakan masa urusan Khazanah Nasional tidak dibincang dalam jemaah kabinet.

"Saya rasa benda ini tidak diletakkan di dalam jemaah menteri pun. Sebab biasanya tiada keperluan isu Khazanah dibawa ke jemaah menteri.

"Dia diputuskan di lembaga pengarah Khazanah dan dimaklumkan kepada pengurusan Khazanah. Jika ia melibatkan sesuatu akan sentuh dasar kerajaan wajar perkara ini dimaklumkan kepada jemaah menteri," katanya.

Bersubahat genosid Palestin

Sementara itu, Khairy menyifatkan bahawa sekiranya kerajaan membenarkan Blackrock membeli saham MAHB, ia sama dengan bersubahat dengan genosid Israel di Palestin.

"Kita tak halang pengambilalihan saham MAHB oleh mana-mana syarikat. Kita cuma bantah Blackrock sebab ada banyak ekuiti swasta yang lain boleh buat urusan ini.

"Adalah sangat jelas Blackrock bersuhabat dengan genosid di Palestin. Pemiliknya adalah seorang Zionis yang secara terbuka menyokong serangan Israel ke atas Palestin dan mengkritik Hamas,.

"Saya percaya urusan (penjualan saham) ini dibuat sekarang atas dasar niat baik, tapi adakah kita perlu Blackrock? Tidak. Kamu memberi sokongan moral kepada Palestin, tapi kamu benarkan Blackrock (beli saham MAHB).

"Tapi, Anwar selaku pengerusi Khazanah, menteri kewangan dan perdana menteri, jika kamu benarkan Blackrock maknanya kamu berhubahat dengan genosid di Palestin," katanya disambut sorakan lebih 200 hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, (KLSCAH).

Turut hadir, bekas menteri luar negara Saifuddin Abdullah, bekas pemimpin PKR Tian Chua, wakil gerakan Boycott, Divestment, Sanctions for Malaysia (BDS Malaysia) dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Sebelum ini, sebuah konsortium yang terdiri daripada anak syarikat Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan Global Infrastructure Partners (GIP) telah mengumumkan tawaran untuk membeli saham MAHB dan menjadikannya sebagai syarikat swasta.

Khazanah dan KWSP mempertahankan pengambilalihan tersebut sebagai langkah untuk meningkatkan daya saing lapangan terbang Malaysia.

Pengarah Urusan Khazanah, Amirul Feisal Wan Zahir, bagaimanapun menegaskan bahawa Blackrock masih belum memperoleh GIP.

Ini walaupun Blackrock mengumumkan pada Januari bahawa ia memperoleh sepenuhnya GIP dan dijangka memuktamadkan perjanjian itu menjelang suku ketiga tahun ini, iaitu antara Julai dan September.